Sharnaaz Ahmad

KUALA LUMPUR – Pelakon, Sharnaaz Ahmad hari ini mendakwa apa yang ditulis media berhubung laporan yang mengaitkannya memukul seorang penduduk di kondominium di Sentul, di sini, tidak tepat.

Ketika dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman sejak malam Jumaat lalu, duda beranak satu itu berkata, dia tidak bodoh sehingga hilang pertimbangan.

“Sebenarnya apa yang dikeluarkan oleh pihak media itu adalah tidak benar, so tunggu daripada peguambela saya atau kenyataan yang saya akan buat dalam masa terdekat.

“Bahkan mereka yang mengaitkan saya dalam kejadian itu diminta lebih berhati-hati dalam mengeluarkan (kenyataan) kerana kes masih dalam siasatan polis.

“Walaupun saya sangat sinonim dengan panas baran, tetapi bukannya bodoh untuk berkelakuan begitu (memukul orang),” katanya.

Sharnaaz, 36, dibebaskan dengan jaminan polis setelah direman selama tiga hari untuk membantu siasatan polis berhubung dakwaan memukul seorang penduduk di kondominium di Sentul pada 16 Jun lalu.

Bercakap kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul selepas urusan jamin polis, pelakon itu berkata, dia bukan orang bodoh sehingga sanggup melakukan perbuatan sebegitu sehingga hilang pertimbangan.

Berikutan itu, Sharnaaz meminta agar mana-mana pihak lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana kes masih dalam siasatan polis.

“Tunggu daripada peguambela saya atau kenyataan yang saya akan buat dalam masa terdekat.

“Sementara ada di sini (direman), saya ingin mengucapkan terima kasih kepada polis kerana telah banyak membantu dari semua segi termasuk juga media. Cerita sebenar akan keluar nanti,” katanya.

Menurut Sharnaaz, pengalaman tiga hari dalam lokap menjurus kepada siasatan dan banyak pengajaran yang diperolehinya.

Tambah beliau, beliau yang memberi kerjasama sepanjang direman menerima layanan yang baik daripada pegawai penyiasat dan polis.

“Saya yakin saya tak bersalah. Saya akan membuktikan kepada semua ada kebaikan apa yang saya buat dalam ini yang semua tak tahu dan akan saya ceritakan di mahkamah nanti,” katanya.

Pelakon itu berkata, dia akan hadir ke mahkamah dalam masa terdekat dan meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dengan terus menuduhnya sebagai penjenayah.

“Saya ini bukan penjenayah. ini bukan soal penjenayah dan ini adalah soal bantuan polis, bantuan siasatan polis yang katakan saya ini menumbuk, sebenarnya langsung tiada yang betul di situ.

“Dalam sehari dua lagi, atau mungkin esok menerusi pengurus saya akan maklumkan nanti (kebenaran),” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast