Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) melaksanakan penangguhan kutipan fi permit terhadap empat komoditi makanan ternakan mulai hari ini.

Ia terdiri daripada jagung, soya, gandum dan komoditi proses berasaskan haiwan dan tumbuhan bagi tujuan penyediaan makanan ternakan.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkata,  Maqis juga akan melaksanakan proses kemasukan pantas di pintu-pintu masuk negara bagi komoditi tersebut dalam usaha melancarkan proses pengimportan, sekali gus mengurangkan kos logistik yang terlibat dalam aktiviti pengimportan.

“Kos bahan mentah makanan ternakan yang tinggi dalam industri ternakan telah dikenalpasti sebagai salah satu faktor kenaikan harga bahan makanan seperti ayam bulat dipasaran tempatan.

“Sebahagian besar komoditi bahan mentah bagi tujuan makanan ternakan iaitu soya, gandum, jagung dan makanan ternakan berasaskan haiwan diimport dari luar negara.

“Penangguhan fi permit bagi pengimportan komoditi tersebut dapat membantu mengurangkan kos logistik dalam usaha menstabilkan harga makanan ternakan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah MAFI, kementerian itu melalui Maqis akan terus komited dalam memudahcara urusan pengimportan bahan makanan ke dalam negara di samping memastikan semua kemasukan adalah bebas daripada isu-isu biosekuriti.

Sehubungan, pihak-pihak yang mempunyai sebarang kemusykilan mengenai tatacara pengimportan atau pengeksportan komoditi pertanian dan agromakanan, boleh dikemukakan melalui email kepada [email protected]. – MalaysiaGazette