Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap kepada media selepas selesai keputusan anak guamnya bagi kes kes pembunuhan CEO Cradle Fund dan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan untuk melepas dan membebaskan isteri serta dua anak kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Samirah Muzaffar di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Foto, MOHD ADZLAN 21 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Pasukan peguam Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki bagi kes pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan bersedia sekiranya pihak pendakwaan membuat rayuan.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan berkata, pihaknya telah melakukan cukup persediaan dalam menghadapi kes tersebut.

“Kita dah memang sedia, seperti saudara lihat kita punya submission bukan sehari tapi tiga empat hari submission sahaja. Sama juga dengan prosecution.

“Dan bagi saya, kalau ada rayuan daripada pihak pendakwaan, saya rasa kita diberi peluang lagi sekali untuk buktikan ciri-ciri atau ingredient, intipati pertuduhan ini yang lain-lain dan juga boleh diketepikan mahkamah ini.

“Harus diketepikan terhadap pendakwaan. Kita mahu menang sekiranya ada rayuan,” katanya selepas sesi perbicaraan selesai.

Artikel berkaitan:

Beliau diminta mengulas kenyataan keluarga Nazrin yang mahu membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Mahkamah Tinggi di sini melepaskan dan membebaskan Samirah dan dua remaja lelaki berhubung pertuduhan membunuh NazrinĀ  empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menetapkan keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 47, yang juga balu Nazrin dan remaja berusia 16 serta 19 tahun berkenaan.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, pihak pendakwaan hanya membuat andaian ketiga-tiga tertuduh berada dengan mangsa ketika kejadian sebagaimana yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Jadi oleh sebab hakim buat keputusan, pada masa pendakwaan kata berlakunya kematian atau pembunuhan kalau kita buat kesimpulan itu, orang yang kena tuduh iaitu Samirah dan dua kanak-kanak tidak boleh ditempatkan bukan saja dalam situasi, tapi juga masa.

“Sebab itu terlalu banyak benda tak menentu dan keputusan akhirnya pendakwaan tidak buktikan dengan kukuh secara beyond reasonable doubt, ketiga tiga bebas lepas,” kata Muhammad Shafie. – MalaysiaGazette