Roshamidah Abdullah menerima surat hak milik tanah menerusi Skim Tanah Rakyat (STR) daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama 67 penerima STR Kampung Kuala Sentul baru -baru ini

MARAN – Sorang peniaga kedai runcit Kampung Kuala Sentul di sini menganggap mendapat surat hak milik tanah menerusi Skim Tanah Rakyat (STR) walaupun tidak pernah memohon seperti ‘rezeki terbang dari langit.’

Bagi Roshamidah Abdullah, 56,  tidak dapat menyembunyikan perasaaan gembira dan bersyukur apabila mendapat tanah satu ekar secara percuma oleh kerajaan Pahang.

“Pada mulanya Tok Empat kampung datang memaklumkan hasrat kerajaan negeri hendak memberi tanah secara percuma tapi saya tidak sangka langsung terpilih sebab tidak pernah memohon.

“Tidak lama kemudian apabila dapat surat dipanggil untuk memilih dan mencabut undi lot tanah, saya dapat nombor 035,” katanya.

Terdahulu, suaminya, Herman Abu Bakar, 54, juga mendapat sebuah rumah pada tahun 2019 menerusi Rumah Mesra Rakyat Kuala Sentul.

“Untuk tanah ini akan dimajukan sebagai dusun tapi belum merancang nak tanam apa lagi, mungkin tanam durian.

“Terima kasih MB Pahang, kerajaan negeri banyak bantu rakyat, kami di Maran pun tidak dilupakan,” kata Roshamidah lagi.

Lebih mengujakan, ibu anak tiga itu apabila menerima geran tersebut yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama 67 penerima STR Kampung Kuala Sentul baru-baru ini.

Difahamkan mereka menerima suratan hak milik bagi tujuan pertanian sekali gus membantu meningkatkan ekonomi mereka sebagai penduduk setempat.

Selain itu, seramai 125 peserta  STR Kampung Bak-Bak Fasa III di Maran juga menerima geran tanah.

STR merupakan suatu bentuk pembangunan berkonsepkan Rancangan Tanah Kelompok untuk memenuhi hasrat rakyat bagi tujuan membina kediaman atau melaksanakan aktiviti pertanian.- MalaysiaGazette