Pesawat tejas. Foto: Indian defence Forces.
NEW DELHI – India merupakan antara pesaing utama untuk membekalkan 18 pesawat penggempur ringan (LCA), Tejas, kepada Malaysia berdasarkan kos pemilikan rendah serta penarafan teknikal yang tinggi untuk pesawat yang dihasilkannya.
Tawaran pakej urusniaga itu meliputi penyelenggaraan dan alat ganti untuk jet pejuang Sukhoi-30 yang berasal dari Rusia.
India menawarkan keupayaan terbang dengan selamat (flight worthy) untuk pesawat Sukhoi milik Malaysia menerusi Hindustan Aeronautics Ltd’s (HAL’s) yang mempunyai inventori alat ganti yang besar selain memiliki kepakaran teknikal.
Korea Selatan dan China turut bersaing untuk mendapatkan kontrak tersebut namun negara-negara itu tidak mempunyai kontrak yang disokong  pengeluar Rusia untuk pesawat pejuang Sukhoi.
Malaysia mempunyai 19 buah pesawat pejuang  Sukhoi, Su-20 MKM yang hampir sama dengan versi Su MKI yang dikendalikan India.
Perbincangan pakej berkembar telah dilakukan dan keputusan muktamad di bawah kedua-dua kerajaan, lapor Economic Times seperti dipetik ETNOW.
Beberapa negara yang memiliki peralatan ketenteraan buatan Rusia menghadapi kesukaran untuk memesan alat ganti dan bekalan lain.
LCA yang ditawarkan India kepada Malaysia turut merangkumi radar AESA (Actice Electronically Scanned Array) yang moden, sistem avionik baharu dan keupayaan untuk mengintegrasikan pelbagai persenjataan udara ke udara dan udara ke darat.
Tentera udara dan laut India telah menempah peluru berpandu udara ke udara Astra.
Delegasi Malaysia telah melawat India bagi membincangkan tawaran LCA itu dan India menawarkan untuk mewujudkan kemudahan baik pulih LCA di Malaysia bagi memastikan perkhidmatan yang lebih baik.
LCA buatan India berharga AS$42 juta sebuah, kos yang rendah diperoleh menerusi skala ekonomi selepas tentera udara negara itu menempah 82 buah pesawat di bawah Inisiatif Buatan India. – Agensi