Ketua Pegawai MUIP Holdings, Ahmad Mustaqim Mohd Zain mewakili MUIP Holdings melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama 100 kakitangan di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Majlis Ugama Islam Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Holdings hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi memperkukuh intergriti dalam sistem tadbir urusnya.

Ketua Pegawai MUIP Holdings, Ahmad Mustaqim Mohd Zain berkata, ia merupakan satu wadah yang terbaik agar sentiasa menjauhkan diri daripada amalan yang mempunyai unsur rasuah.

Jelasnya, bagi membangunkan sebuah organisasi yang mempunyai nilai integriti dan urus tadbir yang baik merupakan tanggungjawab besar dan memerlukan sokongan penuh serta komitmen daripada semua pihak.

“Kumpulan MUIP Holdings mengambil pendekatan dengan mengadakan Majlis Lafaz Ikrar dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tanda mengukuhkan matlamat bebas rasuah dalam organisasi ini.

“Keruntuhan integriti akan menyebabkan berlaku pelbagai kepincangan seperti peningkatan amalan rasuah dan pecah amanah yang akan memberikan impak besar kepada individu, keluarga dan organisasi itu sendiri.

“Rasuah mungkin berlaku tanpa melibatkan wang ringgit tetapi melalui perkara yang lain seperti penerimaan sumbangan, menyalahgunakan kuasa dan sebagainya,” katanya ketika berucap di sebuah hotel di sini hari ini.

Justeru itu, pihaknya  sentiasa berharap semua pihak dapat menjauhkan diri daripada melakukan sebarang pelakuan rasuah dan yakin warga kerjanya memperkasakan budaya intergriti dan bebas rasuah dalam perkhidmatan.

Sementara itu, Pengarah  SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim berkata, pentingya integriti di mana ia merupakan benteng utama ke arah membawa kecemerlangan sesebuah kerajaan dan organisasi.

Menurutnya, majlis tersebut secara tidak langsung akan menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga kerja SPRM untuk terus berjuang bersama-sama melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam memerangi jenayah rasuah secara habis-habisan.

“Individu yang berintegriti tidak akan membiarkan kepentingan diri mengatasi kepentingan organisasi dan orang awam,” katanya.

Tambahnya nilai integriti perlu dizahirkan dalam semua tindakan dan amalan samada melalui penampilan, sikap dan semasa membuat sesuatu keputusan. – MalaysiaGazette