Halimaton (dua dari kiri) menerima anugerah ikon keusahawanan teknikal wanita dan disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Melaka baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Konvensyen Keusahawan Teknikal Wanita (WTC) 2022 yang julung kali diadakan dalam negara dianjurkan oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjulang ikon keusahawan teknikal wanita.

WTC 2022 telah menobatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Eureka Innovative Solution & Consultany, Halimaton Saadiah Hakimi sebagai ikon keusahawan teknikal wanita 2022 yang telah membuktikan pencapaian cemerlang dalam bidang keusahawanan dan perniagaan dalam bidang teknikal.

Pengumuman kejayaan telah diumumkan sewaktu Majlis Makan Malam WTC 2022 yang telah berlangsung baru-baru ini di salah sebuah hotel ternama di Bandaraya Melaka, kata satu kenyataan UTeM.

Halimaton adalah pemilik syarikat berkenaan yang menumpukan perniagaan pembangunan laman web yang berkembang maju berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Syarikatnya juga berjaya mendapat kontrak pembangunan perisian dan aplikasi teknologi maklumat di negara teluk seperti di Dubai dan Abu Dhabi dan pada masa yang sama serta turut menjadi perunding teknologi maklumat kepada syarikat ternama dunia Al-Hidayah Group of Companies.

Beliau juga merupakan graduan UTeM dalam bidang ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan tahun 2017 dan Sarjana Teknologi Maklumat dan Komunikasi tahun 2019 dan kini sedang dalam pengajian Ijazah PhD.

Halimaton menerima anugerah ikon keusahawanan teknikal wanita dan disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Hadir sama pada Majlis Makan Malam WTC 2022 adalah Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Hj. Mohd Ali Mohd RustamYang Di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama (Dr.) Sulaiman Md Ali.

Turut hadir Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Melaka, Datuk Kalsom Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Dato’ Seri Abdul Razak bin Jaafar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM Datuk Seri Dr. Hasim Hasan dan Naib Canselor UTeM Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin.

Prof Massila dalam ucapan beliau sempena Majlis Makan Malam WTC menyatakan WTC 2022 telah berlangsung selama 2 hari di Kampus Induk UTeM dengan pelbagai pengisian program menarik dan berimpak tinggi.

“Antaranya adalah Women DNA bersama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Women of Wisdom bersama i-LEAD Kementerian Belia dan Sukan dan Forum Meja Bulat yang mendorong para peserta menjadi usahawan teknikal yang berjaya.

“WTC 2022 berjaya menghimpunkan peserta konvensyen majoritinya terdiri daripada pelajar-pelajar wanita dari UTeM, rangkaian universiti awam, Politeknik dan Kolej Komuniti.

“Turut disertai oleh para usahawan wanita, ahli pertubuhan wanita, usahawan ibu tunggal, pegawai jabatan kerajaan, ahli akademik wanita, alumni wanita UTeM dan orang ramai,” ujarnya.

Tambahnya lagi, menariknya penganjuran Majlis Makan Malam WTC ini pula dianjurkan sebagai satu platform untuk mengumpul dana bagi tujuan kebajikan untuk kita sama-sama menyumbang dalam membantu pelajar-pelajar B40 di UTeM.

Beliau turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada para penyumbang dana berkenaan kerana sokongan mereka adalah amat bermakna kepada UTeM dalam sama-sama membantu pelajar-pelajar yang memerlukan.

Majlis Makan Malam WTC turut diserikan dengan penonjolan bakat dalam kalangan pelajar-pelajar UTeM menerusi persembahan hebat dalam nyanyian dan tarian serta turut menampilkan persembahan artis terkenal tanahair.

Pengarah Program Majlis Makan Malam WTC 2022 yang juga Pengarah Pejabat Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC) Datin Wira Ts Nurazlina Md Sanusi berkata, inisiatif penganjuran majlis makan malam dan kutipan dana menjadi platform yang memberikan 3 manfaat besar.

Katanya, pertama sekali kita berjaya mengumpul dana dan salurkan kepada golongan yang memerlukan dan fokus kita adalah murni untuk membantu golongan pelajar B40 di UTeM.

“Keduanya adalah kita membuka ruang dan peluang kepada pihak korporat dan orang perseorangan dari kalangan dermawan untuk mereka memberikan sumbangan mereka kepada yang memerlukan.

“Ketiganya adalah pelaksanaan program berskala besar dijayakan dengan perbelanjaan pada skala yang tidak membebankan organisasi terutamanya kami institusi pengajian tinggi awam dan Alhamdulillah ianya berjalan dengan baik seperti yang dihasratkan,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast