Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya.

KUALA LUMPUR – Tiga syarikat telekomunikasi berdepan penalti berat sehingga RM200,000 sekiranya gagal membuat penambahbaikan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pengguna pada tahap yang baik serta memenuhi Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

Ketiga-tiga syarikat berkenaan iaitu Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi kenyataannya memaklumkan, tindakan di bawah seksyen 109, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) itu boleh diambil sekiranya ketiga-tiga syarikat tersebut gagal berbuat demikian.

“Antara kawasan yang dikenalpasti untuk pembaikan perkhidmatan kualiti adalah Langkawi dan kawasan pelancongan yang lain,” katanya.

Suruhanjaya itu berkata, pihaknya telah menjalankan audit teknikal ke atas perkhidmatan jalur lebar di 3,038 lokasi seluruh negara.

Menurutnya, kesemua lokasi itu dipilih berdasarkan rekod lokasi aduan yang diterima oleh suruhanjaya itu.

“Daripada 3,038 lokasi tersebut, 40 notis wajib kepatuhan yang melibatkan 449 lokasi terawal gagal telah dikeluarkan dari 1 Januari hingga 15 Jun lalu,” katanya.

Tiga maklum balas notis telah dinilai dan SKMM telah mengeluarkan Arahan Suruhanjaya terhadap tiga syarikat tersebut.

Tambahnya, aktiviti proses audit merupakan rutin yang sering dilakukan pihaknya bagi memantau tahap prestasi kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan. – MalaysiaGazette