Dr Sha’ari Ngadiman

SHAH ALAM – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan terdapat satu kejadian kluster Influenza-Like-Illness (ILI) melibatkan sebuah sekolah menengah berasrama di daerah Petaling dikesan pada Selasa lepas.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, kluster tersebut dikesan apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling menerima notifikasi 110 orang pelajar bergejala demam, batuk, selesema serta sakit tekak dan kes pertama telah dikenal pasti bergejala sejak 14 Jun lepas.

“Sehingga semalam, jumlah keseluruhan kes mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan atas seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak adalah 191 orang pelajar dengan kadar serangan jangkitan 32.5 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, lima orang pelajar telah disahkan positif Influenza A, manakala sebanyak 13 sampel lagi masih menunggu keputusan.

“Terdapat satu kes berada di hospital untuk pemantauan dan berada dalam keadaan stabil. Ujian COVID-19 yang dijalankan ke atas 30 orang pelajar bergejala mendapati kesemuanya negatif,” katanya.

Datuk Dr Sha’ari berkata, hasil dari penilaian risiko dijalankan oleh PKD Petaling serta perbincangan dengan pihak pengurusan sekolah, penutupan sementara asrama telah dijalankan bagi tujuan disinfeksi dan mengawal penularan jangkitan.

“Asrama terbabit akan dibuka semula selepas penilaian risiko ulangan dijalankan oleh PKD Petaling,” katanya.

Menurutnya, pemantauan yang dijalankan oleh JKN Selangor terhadap jangkitan ILI di negeri itu mendapati situasi masih terkawal namun penularan jangkitan di institusi pendidikan, terutamanya sekolah-sekolah berasrama menunjukkan sedikit peningkatan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

“Antara faktor dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan tersebut adalah kurangnya penekanan kepada aktiviti gate keeping di sekolah-sekolah, pertambahan aktiviti dijalankan secara berkumpulan, sentuhan fizikal sesama pelajar dan kurangnya amalan kebersihan kendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai termasuk pentadbir institusi pendidikan dan pusat-pusat jagaan, sama ada kerajaan mahupun swasta agar sentiasa mengamalkan langkah kawalan kendiri.

“JKNS akan terus memantau situasi dan tren kejadian ILI di Selangor, serta bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan langkah-langkah kawalan dan pencegahan dijalankan dengan sewajarnya,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast