Pada 23 Mei, 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sementara Batuan Tengah adalah milik Malaysia manakala Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

BARU-baru ini, akhbar Straits Times ada melaporkan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir menyeru Malaysia untuk menuntut Singapore and the Riau Islands as these territories are Malay lands. Beliau dilaporkan telah membuat kenyataan ini ketika berucap di Kongres Survival Melayu pada 19 Jun 2022 di Selangor. Beliau berpandangan bahawa Malaysia berpuas hati mendapatkan Pulau Sipadan dan Ligitan dari Indonesia sementara berputus asa dengan Batu Puteh apabila kedaulatan ke atasnya diiktiraf Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bersama Singapura.

Dr. Mahathir seharusnya sedar bahawa walaupun beliau bukan lagi seorang Perdana Menteri, beliau masih sangat berpengaruh dan ucapannya boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan jiran-jiran terdekat negara, iaitu Singapura dan Malaysia. Walaupun benar Singapura pernah menjadi wilayah Kesultanan Johor, ianya telahpun diserahkan oleh Sultan pada ketika itu, Sultan Hussein Shah kepada British pada tahun 1824 Setelah penyerahan tersebut, Singapura telah ditadbir pihak British sehingga wilayah ini disekutukan di dalam Persekutuan Malaysia sebelum dikeluarkan pada tahun 1965, akhirnya membentuk sebuah republik yang merdeka.

Seperti Singapura, Kepulauan Riau pernah menjadi wilayah jajahan Kesultanan Johor tetapi kepulauan ini tidak pernah menjadi sebahagian daripada Malaysia yang merdeka. Kepulauan Riau telah diasingkan daripada Kesultanan Johor pada tahun 1824 dan diperintah Belanda menerusi Kesultanan Riau-Lingga sehingga mencapai kemerdekaan di dalam Indonesia pada tahun 1945. Walaupun Kesultanan Johor kekal sehingga ke hari ini, Kesultanan Riau-Lingga telah dihapuskan oleh Belanda pada tahun 1911.

Sejarah akan kekal sejarah. Hari ini. Kepulauan Riau dan Singapura bukanlah sebahagian daripada Malaysia. Sama ada dipetik di luar konteks atau tidak, pernyataan yang dibuat oleh Dr. Mahathir bahawa Malaysia perlu menuntut semula Singapura dan Kepulauan Riau adalah tidak berasas kerana Malaysia adalah sebuah negara yang menghormati kedaulatan negara-negara lain di bawah panji Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pernyataan sedemikian walaupun boleh dilihat dipetik diluar konteks, boleh mengeruhkan hubungan diplomatik yang baik di antara Malaysia dengan Singapura dan Indonesia.

Kerajaan dan sekalian rakyat Malaysia juga pasti tidak senang duduk jika terdapat pemimpin Filipina yang tidak henti-henti ingin menarik Sabah untuk bergabung dengan negara kepulauan itu. Sebagai ikon yang dihormati ramai, Dr. Mahathir tidak seharusnya membuat pernyataan kontroversi seperti itu. Malaysia bersetuju untuk menyelesaikan sengketa Batu Puteh bersama Singapura di ICJ sewaktu pentadbiran Dr. Mahathir sendiri lebih dari 20 tahun yang lalu.

Sewaktu Dr.Mahathir menyebut bahawa Malaysia telah ‘berputus asa’ (has given up on) dengan Batu Puteh’, adakah ini bermaksud bahawa kerajaan pimpinannya ketika beliau adalah Perdana Menteri keempat tidak bekerja sehabis daya untuk mendapatkan kedaulatan ke atas Batu Puteh?

Sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri kesembilan empat tahun yang lalu, kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr. Mahathir sendiri yang menarik diri daripada meneruskan permohonan semakan ke atas keputusan yang dibuat oleh ICJ ke atas Batu Puteh pada tahun 2008. Setelah tamatnya tempoh 10 tahun untuk membuat permohonan semakan pada tahun 2018, peruntukan Statut ICJ telah menghalang Malaysia dari membuat permohonan semakan ke atas keputusan tahun 2008. Rakyat Malaysia perlu menerima hakikat bahawa Batu Puteh sudah terlepas ke tangan Singapura.

Ini bukanlah waktu untuk membuat tuntutan kedaulatan yang bukan-bukan. Ini adalah waktu untuk membina negara tercinta dengan memperkukuh dan mempertahan keutuhan wilayahnya. Apa ertinya menuntut Singapura ataupun Kepulauan Riau jika kerajaan yang ada pada hari ini masih belum menetapkan garis sempadan yang jelas di antara Malaysia dan Singapura disekitar perairan Batuan-Tengah-Pedra Branca di Selat Singapura dan Tuas di sudut barat Selat Johor?

Apa ertinya menuntut Singapura ataupun Kepulauan Riau jika perairan Malaysia di Laut China Selatan masih di diceroboh pihak-pihak asing? Apa ertinya menuntut Singapura ataupun Kepulauan Riau jika tindakan sedemikian boleh merosakkan hubungan Jakarta ketika Putrajaya sedang berusaha mendapatkan persetujuan perbatasan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) yang tetap bersama Indonesia di utara Selat Melaka?

Dr. Mahathir mungkin telah membuat pernyataan sedemikian untuk memberikan motivasi atau mendapatkan sokongan dari peserta Kongres. Namun, sebagai ahli politik yang disegani, beliau perlu tahu bahawa kata-katanya sangat berpengaruh sehingga boleh mencetuskan rasa tidak senang Singapura dan Indonesia terhadap Malaysia. Malah, perkara ini telahpun dilaporkan dengan agak meluas melalui akhbar dan media sosial di Malaysia, Indonesia, Singapura serta portal-portal akhbar antarabangsa yang lain seperti the South China Morning Post.

Singapura dan Indonesia bukan sahaja tetangga tapi rakan baik Malaysia berdekad tanpa sebarang pertelingkahan parah. Malaysia pula adalah sebuah negara yang diketahui dunia sering menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah negara-negara lain sesuai dengan peruntukan Piagam PBB. Singapura dan Kepulauan Riau bukanlah milik Malaysia.

Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah profesor madya di Fakulti Syariah dan Undang-
undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan felo penyelidik di the Australian National University Malaysia Institute, Canberra