Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi belum meneliti sepenuhnya kenyataan yang berbaur serangan oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya belum meneliti sepenuhnya secara word by word, kata-kata yang dinukilkan.

“Saya fikir itu pendapat peribadi beliau dan beliau tentunya mempunyai pendapat sendiri untuk menulis sedemikian,” katanya ringkas ketika diminta mengulas ‘serangan’ Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu.

Semalam, Nur Jazlan dalam kenyataannya dilaporkan menyifatkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara.

Ini katanya, susulan kelewatan Perdana Menteri itu membuat keputusan mengenai jawatan Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet.

Zuraida yang mengumumkan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sepatutnya digugurkan dari jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi kerana tidak lagi berada dalam parti gabungan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, kedudukannya masih dikekalkan dalam Kabinet menyebabkan timbul kontroversi dengan PPBM yang menuntut jawatan itu diberikan kepada mereka untuk lantikan baharu. – MalaysiaGazette