Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Datuk Nur Jazlan Mohamed mempersoalkan tindakan beberapa pemimpin UMNO yang ‘melompat-lompat’ berhubung kenyataannya yang mempersoalkan kelewatan Perdana Menteri membuat keputusan mengenai jawatan Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor itu berkata, pihak-pihak yang menggesa UMNO supaya mengambil tindakan ke atasnya disifatkannya bekerja keras untuk menonjolkan diri sebagai hero sedangkan kenyataan yang dibuatnya tidak ada salah pun.

Tegas beliau, kenyataan yang dibuatnya bersandarkan keadaan semasa yang berlaku.

“Apa yang tidak betulnya, Datuk Zuraida Kamaruddin keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang jelas pada pandangan saya Bersatu berdepan dengan perpecahan dalaman. Tetapi pada masa sama Perdana Menteri dilihat tidak mampu membuat keputusan berhubung kedudukan menteri itu.

“Kelewatan membuat keputusan mengenai jawatan Zuraida dalam Kabinet telah mencemarkan kedudukan Ismail Sabri Yaakob, yang mana beliau dilihat telah dilemahkan oleh Bersatu dan Perikatan Nasional (PN). Itu kenyataan saya yang sebetulnya. Salahkah  kenyataan itu?,” soal beliau.

Jelas beliau, ketidakupayaan Ismail Sabri menyelesaikan kedudukan Zuraida sebenarnya menjejaskan nama Perdana Menteri sendiri kerana beliau dilihat sebagai pemimpin UMNO yang lemah.

“Beliau (PM) macam pikul biawak hidup. Senang cerita, Perikatan Nasional dan Bersatu yang berpecah tapi UMNO yang menanggung beban memikul biawak hidup,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Nur Jazlan berkata, beliau sanggup dibuang oleh UMNO kerana menyatakan kebenaran yang pahit untuk diakui oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan penyokong Perdana Menteri.

”Saya sanggup dibuang oleh parti kerana menyatakan pandangan bahawa isu dalaman Bersatu berpecah dan pemecatan Zuraidah melemahkan kepimpinan PM dan menjadi masalah kepada kerajaan yang dipimpin oleh pemimpin UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, Nur Jazlan menempelak pihak-pihak yang mengkritiknya supaya turut melakukan perkara sama kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang ‘tidak pernah senang’ dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selama ini.

Selama empat tahun, katanya, Ahmad Zahid dihentam bertubi-tubi, kiri dan kanan oleh pemimpin UMNO yang masih diberi jawatan seperti Tan Sri Annuar Musa, Khairy Jamaluddin, Datuk Nazri Aziz dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

“Kenapa tak kritik mereka seteruk saya dikritik? Kenapa? Sedangkan mereka ini lebih teruk kerana hentam parti sendiri, Presiden UMNO demi parti lawan untuk mendapatkan jawatan.

“Mereka yang hendak hentam saya, hentamlah nama-nama yang saya sebutkan tadi terlebih dahulu. Jangan salah hentam semata-mata tersilap tafsir kenyataan saya.

“Sedangkan kita semua ketahui dan jelas bahawa kelemahan PN dan Bersatu di dalam kerajaan yang menanggung akibatnya ialah PM, yang merupakan pemimpin UMNO. Dan, setiap kesilapan – sama ada besar atau kecil yang kena kritik ialah PM dan UMNO serta Barisan Nasional turut terpalit sama.

“Oleh sebab itu, PM tak boleh lemah, tak boleh bela biawak hidup. UMNO dan Barisan Nasional sama sekali tidak boleh terus memikul kepincangan yang berlaku dalam PN dan Bersatu,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast