Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melawat tapak gerai pameran ketika menghadiri ke Karnival Jom Heboh dan Hari Rekreasi Putrajaya 2022 di Anjung Floria, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak pernah membuat pusingan U (u turn) apabila membatalkan keputusan menghapuskan harga siling ayam berkuatkuasa bulan depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya keputusan itu dibuat setelah mendengar pandangan rakyat yang bimbang tentang satu lagi pusingan inflasi selepas kerajaan membenarkan pengapungan harga ayam dan telur ayam.

“Bukan u turn, kita tidak kata u turn, kita kata waktu dulu tiada pengapungan, harga ayam akan diapungkan.

“Kerajaan hari ini adalah kerajaan yang mendengar pandangan rakyat, setelah itu kita membuat keputusan menerima pandangan tersebut dan membuat keputusan.

“Yang pentingnya adalah keputusan itu memberi kebaikan kepada rakyat bukan isu u turn ker apa ke, itu tak penting.

“Yang pentingnya apa yang kita buat itu memberi faedah kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan walkabout di Hari Rekreasi Putrajaya 2022 dan Karnival Jom Heboh di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri dalam kenyataannya memaklumkan kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran negara tidak akan diapungkan.

Justeru, Perdana Menteri berkata, harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Jelasnya, keputusan itu adalah keprihatinan kerajaan supaya rakyat tidak dibebani tekanan berpunca kenaikan kos sara hidup ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast