chicken ceiling price subsidy
Gambar hiasan.

MELAKA – Subsidi ayam di negara ini akan diteruskan dengan harga baharu antara RM9 hingga RM10 sekilogram, meningkat sedikit berbanding RM8.90 yang dinikmati sehingga akhir Jun ini.

Menurut sumber, harga subsidi itu bagaimanapun hanya dalam tempoh sementara minimum sebulan atau lebih, bagi menjamin bekalan ayam kepada pengguna di seluruh negara.

Jelasnya, perkara itu bagaimanapun akan diperhalusi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara yang bersidang hari ini sebelum ianya dijangka diumumkan malam ini.

“Bagi menjamin bekalan ayam, kerajaan bersetuju meneruskan subsidi, namun pada harga baharu iaitu antara RM9 hingga RM10 sekilogram.

“Ini kerana, harga RM8.90 ketika ini sudah tidak relevan berbanding harga subsidi baharu yang mewujudkan situasi menang-menang kepada peladang, pemborong, peruncit dan pengguna,”katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette di sini hari ini.

Ditanya, adakah kemungkinan harga subsidi baharu itu akan melebihi RM10, beliau berkata, kerajaan menolak harga siling lebih daripada itu.

“Memang ada cadangan harga lebih RM10 sekilogram, tapi kerajaan mahu ianya tidak melepasi angka itu kerana rakyat masih terkesan cabaran ekonomi.

“Itupun, harga subsidi baharu itu mungkin hanya akan kekal dalam tempoh paling singkat sebulan,” katanya.

Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee dilaporkan berkata, harga siling baharu ayam dan kadar subsidi diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara yang bersidang hari ini.

Penetapan harga siling baharu itu diselaraskan dengan mengambil kira bantuan tunai tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

Tambahnya, Sabtu lalu, pihaknya telah mengadakan mesyuarat khas berhubung isu berkenaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kewangan dan pemain-pemain industri penternakan ayam. – MalaysiaGazette