Orang ramai berjalan ditepi deretan lori yang terlibat dalam mogok di Lima, Peru pada 18 Mac 2021. Foto Reuters

LIMA – Pemandu lori dan beberapa kumpulan pekerja ladang Peru akan melancarkan mogok pada Isnin selepas gagal mencapai persetujuan dengan kerajaan mencari langkah untuk mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api dan baja global yang mendadak.

Pemimpin kesatuan dan wakil kerajaan mengadakan pertemuan hari Jumaat dan Sabtu dengan wakil kerajaan menuntut dan mahu kos pengangkutan barang diletakkan sebagai “perkhidmatan awam” supaya dapat mengurangkan kos dan mengekang persaingan dengan pemandu lori dari negara jiran.

“Kami tegas dalam rancangan untuk melakukan mogok membabitkan semua pangkalan kami di seluruh negara,” kata ketua kesatuan pengangkutan dan pemandu muatan berat, Marlon Milla kepada stesen radio RPP.

Kesatuan itu mempunyai 400,000 unit pengangkutan kargo di 14 daripada 25 wilayah di negara ini.

Harga bahan api global yang tinggi dikaitkan dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah mencetuskan kekacauan di Peru, pengeluar tembaga No. 2 dunia.

Manakala kekurangan baja telah menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan makanan dengan kerajaan bergelut untuk mendapatkan penghantaran.

Kerajaan Presiden berhaluan kiri, Pedro Castillo, yang menyaksikan popularitinya jatuh sejak memegang jawatan tahun lalu telah mengambil langkah untuk membendung kenaikan kos sara hidup, tetapi kadar inflasi tahunan kekal sekitar 8%, paras tertinggi dalam tempoh 24 tahun.

Beberapa kesatuan petani juga mengumumkan mogok pada hari Isnin, sebagai protes terhadap kenaikan harga dan kekurangan baja.

Pemimpin Amerika Latin sedang bergelut untuk menurunkan harga yang semakin meningkat walaupun kadar faedah utama dinaikkan.

Pemandu-pemandu trak di Argentina juga melakukan bantahan kenaikan kos bahan api manakala Ecuador digemparkan dengan protes harga gas. – Reuters