Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar ketika hadir pada Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022 di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan terus komited untuk membantu usahawan industri kecil dan sederhana apabila meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM130 juta kepada golongan itu.

Berita gembira itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022 di sini malam ini.

Beliau berkata, bantuan itu melibatkan tambahan peruntukan RM100 juta untuk Pembiayaan Informal Dan Mikro di bawah TEKUN.

Pada masa umum beliau, kerajaan turut meluluskan tambahan peruntukan RM30 juta bagi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corp.

“Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya dimaklumkan bahawa Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah TEKUN yang diperuntukkan sebanyak RM200 juta oleh kerajaan telah habis.

“Justeru, bagi kepentingan para usahawan kecil, kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta.

“Selain itu, Bumiputra Enterprise Enhancement Programme (BEEP) di bawah SME Corp, peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2022 ini telah habis.

“Oleh itu, saya umumkan kerajaan meluluskan RM30 juta peruntukan tambahan bagi tujuan ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) adalah menterinya, Tan Sri Noh Omar.

Sementara itu, dalam ucapan beliau, Ismail Sabri berkata, pembangunan keusahawanan merupakan antara intipati pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara.

Jelas beliau, ia menjadi teras kepada penciptaan daya inovasi dan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi.

Tambahnya, negara akan lebih maju ke hadapan sekiranya memiliki ekosistem keusahawanan yang komprehensif dan meliputi pelbagai peringkat.

“Sektor perniagaan terutamanya melalui Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kekal signifikan kepada pengembangan ekonomi negara walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Kejayaan pemulihan sektor PMKS sudah pasti akan membantu mempercepat pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Ismail Sabri memberitahu, prospek pemulihan ekonomi negara dijangka akan terus berkembang kesan daripada pembukaan sempadan antarabangsa yang menyumbang kepada aktiviti ekonomi dalam negara.

Jelas beliau, kaji selidik KUSKOP pada Februari lalu juga telah menunjukkan bahawa pembukaan semula ekonomi oleh kerajaan telah membantu memulihkan semula operasi perniagaan yang terkesan akibat pandemik.

Ujarnya, prestasi perniagaan juga mencapai tahap lebih baik di mana terdapat peningkatan nilai jualan, permintaan, aliran tunai dan keperluan tenaga buruh.

“Selain itu, terdapat impak yang positif terhadap permintaan guna tenaga negara. Sebagai tulang belakang ekonomi negara, pada tahun 2020, PMKS telah menyumbang kepada 38.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan 13.5 peratus eksport negara.

“Oleh demikian, amatlah penting supaya kerajaan untuk terus memastikan sektor perniagaan melibatkan usahawan tempatan kekal berdaya tahan,” katanya. – MalaysiaGazette