Sebahagian laluan Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK) akan ditutup selama 30 minit bermula jam 11 malam ini bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL).- Gambar hiasan.

KUANTAN – Sebahagian laluan Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) akan ditutup selama setengah jam bermula jam 11 malam ini bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, ia melibatkan penutupan sepenuhnya laluan di kedua-dua arah Lebuhraya KLK dari KM55.35 sehingga KM55.85 (Lentang).

Jelasnya, penutupan laluan bertujuan memudahkan laluan jentera berat yang terlibat dengan pembinaan terowong ECRL Genting.

“Selepas pukul 11.30 malam, hanya laluan lorong kiri akan dibuka di kedua-dua arah kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya ANIH Berhad menjangkakan laluan akan dibuka sepenuhnya di semua arah pukul 5 pagi esok.

“ANIH Berhad ingin mengingatkan pengguna untuk merancang perjalanan dan jika perlu, percepat atau tangguhkan perjalanan,” tambah Radzimah.

Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut, orang ramai disaran merujuk semua laman media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan ANIH Berhad atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 1700-818-700. – MalaysiaGazette