Tangkap layar menunjukkan suspek mengasari anggota polis trafik selepas ditahan atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu di Jalan Tun Dr Awang, Pulau Pinang.

BAYAN LEPAS – Tidak puas hati disaman kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu dipercayai punca seorang jurutera mengasari polis trafik dalam kejadian di Jalan Tun Dr Awang di sini semalam.

Selain itu, lelaki berusia 51 itu juga dikatakan ingkar arahan agar tidak membuat rakaman menggunakan telefon bimbitnya ketika anggota polis tersebut sedang mengeluarkan saman terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku semalam kira-kira jam 6.30 petang ketika anggota berkenaan melalui jalan tersebut sebelum terlihat suspek menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

“Anggota tersebut cuba menahan suspek kerana menghalang polis menjalankan tugas selain merampas telefon bimbitnya untuk siasatan namun suspek bertindak menggunakan kekerasan jenayah.

“Berlaku pergelutan antara suspek dan anggota dalam insiden itu sebelum dia berjaya ditahan.

“Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 30 Jun ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 dan Seksyen 188 akta yang sama.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi dua minit 56 saat yang memaparkan seorang pemandu kereta bertindak mengasari anggota polis trafik di tepi jalan berhampiran Penang International Commersial City di Jalan Tun Dr Awang.

Berdasarkan video itu, suspek dilihat mahu merampas semula telefon bimbit miliknya dalam milikan anggota berkenaan sehingga berlaku pergelutan. – MalaysiaGazette