rasuah kit siang RCI
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Pemimpin Kanan DAP Lim Kit Siang terkejut  Datuk Najib Razak turut hadir dalam rancangan mendesak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengundurkan diri sebagai Presiden UMNO.

Menurut Kit Siang, pendedahan yang dibuat oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam mengejutkannya kerana dia mendakwa Najib begitu bersemangat untuk bangkit semula sebagai perdana menteri selepas itu.

“Kehadiran Najib di rumah Tajuddin merupakan satu perkara yang mengejutkan, memandangkan selepas penemuan persona “Malu Apa Bossku”, dia telah bersemangat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia sekali lagi, sama ada yang ke-10 atau ke-11,” kata Kit Siang.

Dalam perkongsian di media sosial, Kit Siang turut menggunakan kenyataan Tajuddin bagi mempersoalkan langkah seterusnya yang akan diambil oleh MCA dan MIC sebagai parti sekutu UMNO dalam Barisan Nasional.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, selama empat tahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tiada pemimpin MCA dan MIC yang menyatakan kekesalan terhadap sokongan perti tersebut berkaitan isu 1Malaysia Developmen Berhad.

“Malah, dalam pilihan raya umum negeri Melaka dan Johor, pemimpin dan calon MCA dan MIC bergantung kepada populariti Najib dengan persona “Malu Apa Bossku” untuk mendapatkan undi, tanpa mempedulikan nama baik Malaysia yang kini tercemar sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”.

“Terdapat pemimpin UMNO yang mula nampak antara perkara yang betul dan apa yang salah, namun perkara ini masih belum ditunjukkan oleh para pemimpin dan menteri MCA dan MIC,” kata Kit Siang.

Semalam Tajuddin yang dipecat sebagai ahli MKT UMNO mendedahkan terdapat usaha menjatuhkan Ahmad Zahid oleh Najib dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan pada Mei 2020.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, perjumpaan tertutup diadakan di rumahnya membabitkan pimpinan tertinggi Umno.

“Sebenarnya Zahid sudah lama dianggap tak layak. Mungkin dia boleh bertahan lima enam bulan,” katanya.

“Kita adakan perjumpaan dan kesimpulannya lebih baik dia undurkan diri secara terhormat. Tok Mat duduk situ, Najib duduk situ, Khaled Nordin duduk situ.”

Katanya, gerakan itu bagaimanapun gagal apabila Mohamad atau mesra dipanggil Tok Mat membuat pusingan U selepas digertak oleh orang-orang Zahid.

Ekoran itu, Mohamad kemudiannya tidak mengakui penglibatan dalam gerakan tersebut.

Menurut Tajuddin, Najib juga tidak meneruskan usaha tersebut selepas dicadangkan menjadi pengerusi Barisan Nasional.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast