Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Pas hari ini mencadangkan tiga perkara kepada Perdana Menteri sebagai usaha membantu kerajaan menangani isu kenaikan harga barang.

Ketua Penerangannya, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, tiga perkara itu adalah mengadakan perbincangan bersama dengan semua ketua parti politik daripada pihak kerajaan dan juga pembangkang untuk mencari solusi terbaik dalam mengatasi peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

“Mengkreditkan secara bersasar bantuan tunai bulanan melalui kad pengenalan atau e-dompet kepada golongan B40 dan sebahagian M40 untuk membeli barang keperluan harian dan langkah ini adalah selaras dengan prinsip Islam.

“Kerajaan perlu memungut dan mengagihkan kekayaan secara adil dan saksama. Pemberian bantuan tunai bulanan secara bersasar ini akan dapat membantu meringankan beban rakyat yang jelas amat terkesan disebabkan oleh krisis kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Turut perlu dilakukan kata beliau, mengadakan sidang Parlimen khas bagi membincangkan isu ini secara mikro untuk mendapatkan pandangan dan cadangan penyelesaian daripada Ahli Parlimen yang lebih dekat dengan rakyat di kawasan mereka.

Katanya, Pas yakin dengan kebijaksanaan dan kerjasama semua pihak, isu ini dapat ditangani dan diselesaikan dengan sebaiknya.

“Pas menyeru semua pemimpin politik untuk bersama menyumbangkan idea dan tenaga dalam usaha membantu kerajaan menyelesaikan krisis kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast