Datuk Seri Hamzah Zainudin. Foto MOHD ADZLAN, 28 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan mencampuri urusan UMNO khususnya pergolakan dalaman terbaru parti itu susulan pendedahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin percaya pendedahan yang dibuat ahli Parlimen Pasit Salak itu mempunyai asas yang kukuh termasuk mendesak presidennya berundur.

“Itu presiden dia, yang dia nak suruh presiden dia undur pasal apa, mesti ada sebab-sebab tertentu.

“Pasal apa saya Setiausaha Agung Bersatu nak campur tangan ini (pergolakan dalaman),” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Semalam, Tajuddin yang juga bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menggesa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan presiden sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Tajuddin, ia bagi memberi peluang kepada Ahmad Zahid memberi tumpuan kepada beberapa kes rasuah yang sedang dihadapinya di mahkamah.

Sementara itu, ditanya tentang kesediaan Bersatu untuk menerima Tajuddin menyertai Bersatu, Hamzah bagaimanapun enggan memberi jaminan kerana ia masih terlalu awal.

“Kalau…kalau ini saya tak nak jawab lagi,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette