Ashaari didakwa atas 17 pertuduhan rogol dan melakukan amang seksual terhadap dua beradik di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang guru mengaji al-Quran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 17 pertuduhan rogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua beradik perempuan sejak tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Ashaari Ibrahim, 74, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas enam pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia tujuh tahun di kawasan rumah di Kampung Setol Jalan Baru, Perai dalam daerah Seberang Perai Tengah antara 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020.

Tertuduh dibawa ke mahkamah untuk didakwa melakukan amang seksual, rogol dua beradik.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 376 (1)(e) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Ashaari Ibrahim juga berhadapan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa di tempat dan tarikh yang sama.

Pendakwaan terhadap warga emas itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Sementara itu, menerusi 11 lagi pertuduhan di hadapan Hakim Norhayati Mohd Yunus, dia didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang lagi kanak-kanak perempuan yang juga kakak kepada mangsa bagi pertuduhan pertama.

Tiada jaminan berikan terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia lima tahun di kawasan rumah di Kampung Setol Jalan Baru, Perai dalam daerah Seberang Perai Tengah antara 1 Januari 2014 hingga Mac 2021.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 376 (1)(e) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman dan Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Aisyah Al Humayrah dan Muhammad Syeqal memohon tiada jaminan diberikan ke atas tertuduh bagi kesemua 17 pertuduhan.

Kedua-dua hakim kemudian memerintahkan tiada jaminan diberikan sebelum menetapkan 29 Julai depan sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette