Barisan pemenang 'Tournament Jerantut PUBG Mobile Challenge 2022' bergambar selepas program sempena Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Majlis Daerah Jerantut, Pahang baru-baru ini.

KUANTAN – Koperasi E-Sport Pahang Berhad (KEPB) yang diterajui sekumpulan anak muda berjaya menganjurkan pertandingan sukan elektronik ‘Tournament Jerantut PUBG Mobile Challenge 2022’ buat pertama kali sempena Hari Koperasi Negara 2022 (HKN 2022) Peringkat Negeri Pahang baru-baru ini.

Berdasarkan penglibatan seramai 180 peserta dalam lingkungan umur seawal lima tahun hingga 33 tahun, penganjuran pertandingan itu dilihat memberi petanda positif industri e-sport berpotensi kembali membangun pasca pandemik Covid-19.

Pengerusi KEPB, Amirul Shafiq Sukor, 29, berkata, penganjuran pertandingan terbabit,  memberi pendedahan kepada golongan belia untuk meneroka pelbagai peluang ekonomi dalam industri e-sport.

“Ia adalah satu titik permulaan untuk golongan anak muda untuk cenderung kepada pelbagai bidang perniagaan selepas dididik mengenai fungsi koperasi,”katanya ketika ditemui.

Amirul Shafiq Sukor

Ditanya mengenai kewujudan koperasi pertama e-sport berkenaan, Amirul Shafiq yang juga dikenali sebagai Meeyo berkata, entiti yang ditubuhkan pada April lalu itu, kini mempunyai 20 ahli di seluruh negara.

“Ini adalah koperasi anak muda yang pertama dalam Malaysia, ditubuhkan hasil inisiatif Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) cawangan Negeri Pahang yang berminat untuk menubuhkan satu koperasi golongan belia,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Pengerusi KEPB, Mohd Annuar Shaffiq Mohd Abdullah, 29, menjelaskan, koperasi itu mensasarkan penyertaan daripada belia seluruh negara untuk menikmati manfaat perniagaan, bukan hanya dalam industri e-sport, tetapi juga peluang-peluang perniagaan lain yang ditawarkan SKM.

“Sebenarnya koperasi ini adalah satu perniagaan yang luas untuk warga Bumiputera. Itu yang kita nak. kita nak membantu belia-belia tempatan kita lebih ke arah perniagaan supaya perniagaan golongan Melayu masa kini lebih maju,” tambah Mohd Annuar Shaffiq.

Mohd Annuar Shaffiq Mohd Abdullah

Bukan hanya mahu mengubah stigma masyarakat kononnya ‘game‘ adalah perkara sia-sia, beliau turut memberitahu, terdapat perancangan yang lebih besar akan dibuat koperasi terbabit dalam e-sport dan dari segi perniagaan lain untuk anak muda di negara ini.

“Sekarang pun, kebanyakan program kerajaan pun ada buat pertandingan e-sport, SUKMA pun dah ada e-sport, Olimpik pun dah ada e-sport. So, e-sport sekarang adalah sesuatu yang sudah lebih meluas di negara kita,” jelasnya.

Ahli Jawatankuasa Koperasi E-Sport Pahang Berhad (KEPB) bergambar selepas penganjuran ‘Tournament Jerantut PUBG Mobile Challenge 2022’ sempena Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Majlis Daerah Jerantut baru-baru ini

Tournament Jerantut PUBG Mobile Challenge 2022 merupakan pengisian kepada Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) yang disambut serentak dengan ulang tahun penubuhan ke-100 gerakan koperasi di negara sejak Julai 1922.

BKK akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Julai ini di MaTic, Jalan Ampang Kuala Lumpur.

Seterusnya, sambutan 100 Tahun Koperasi & Hari Koperasi Negara 2022 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 28 hingga 30 Julai 2022 di Mines Exhibition Centre, Seri Kembangan, Selangor.- MalaysiaGazette