Ferdinand "Bongbong" Marcos Jr . Foto Getty Images

MANILA – Ferdinand Marcos Jr telah mengangkat sumpah sebagai Presiden Filipina yang baharu menggantikan Rodrigo Duterte.

Majlis angkat sumpah Marcos Jr itu menandakan kemunculan semula dinasti politik Marcos yang dikenali kuku besi dan digulingkan selepas pemberontakan pada tahun 1986.

Marcos Jr yang digelar Bong Bong telah memenangi pilihan raya besar bulan lalu.

Sara Duterte, anak perempuan bekas presiden pula mengangkat sumpah sebagai naib presiden.

Dalam ucapan pertamanya sebagai presiden, beliau berterima kasih kepada orang ramai kerana memberinya mandat dalam pilihan raya terbesar dalam sejarah demokrasi Filipina.

Pemimpin berusia 64 tahun itu sedang mewarisi sebuah negara yang masih dalam pemulihan daripada pandemik dan prospek ekonomi diselubungi inflasi yang melambung dan peningkatan hutang.

Dalam ucapannya, beliau mengulangi seruan untuk “perpaduan nasional” – seperti mana kempennya dalam pilihan raya lalu dan meminta orang ramai supaya tidak menoleh ke belakang “dalam kemarahan atau nostalgia.”

Pemilihan Marcos Jr menandakan kemuncak perjuangan selama beberapa dekad oleh Marcos untuk menuntut semula kegemilangan politiknya.

Pemerintahan Marcos Sr berakhir pada 1986, apabila pemberontakan besar-besaran menyaksikan berjuta-juta orang turun ke jalan dan keluarga Marcos – termasuk Bongbong yang ketika itu berusia 28 tahun – melarikan diri dari negara itu ke Hawaii. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast