Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

PETALING JAYA – Kadar jenayah di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mencatatkan penurunan sebanyak 29.96 peratus bermula Januari hingga 28 Jun berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, kes mencuri kenderaan termasuk motosikal masih merupakan jenayah utama di daerah tersebut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menyifatkan penurunan tersebut membuktikan pihaknya sangat komited mencegah jenayah dan melindungi masyarakat agar sentiasa sejahtera dan aman.

“Jenayah indeks bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Jun 2021 merekodkan sebanyak 2,333 kes manakala bagi tempoh sama bagi tahun ini sebanyak 1,634 kes iaitu penurunan sebanyak 699 kes atau 29.96 peratus.

“Penurunan ini menunjukkan komitmen polis dalam menangani kadar jenayah di Petaling Jaya dan kita sedang dalam usaha untuk meningkatkan persepsi masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya hari ini selepas majlis perhimpunan bulanan di sini.

Dalam perhimpunan itu, seramai dua pegawai rendah polis dinaikan pangkat dari Sarjan Mejar kepada Sub Inspektor manakala empat orang sarjan dinaikkan pangkat kepada Sarjan Mejar, dan 13 anggota lagi berpangkat koperal telah dinaikkan pangkat sebagai Sarjan manakala beberapa anggota turut diberikan sijil penghargaan kerana bekerja cemerlang.

Mengulas lanjut berkaitan indeks jenayah, Mohamad Fakhrudin berkata,  jenayah paling kerap dilaporkan berlaku di daerah tersebut membabitkan jenayah mencuri kenderaan terutamanya di motosikal.

“Jenayah utama di Petaling Jaya ketika ini adalah kecurian kenderaan iaitu motosikal.

“Kita sudah banyak membuat tangkapan suspek berkaitan jenayah curi motosikal, jadi memang ada berlaku pengurangan dalam indek jenayah itu dan ‘hotspot’ curi motosikal ini kebanyakannya do kawasan-kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) seperti di Lembah Subang, Desa Mentari dan Taman Medan,” ujar beliau.

Tegasnya, pasukan IPD Petaling Jaya sentiasa mengadakan kempen kesedaran pencegahan jenayah di kawasan perumahan tersebut dengan kerjasama masyarakat setempat dan juga persatuan penduduk iaitu Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Ahli Majlis setempat.

Malah, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Petaling Jaya menduduki tempat pertama di Selangor dalam kategori penguatkuasaan, siasatan, pertuduhan dan penyelesaian saman trafik membabitkan daerah tersebut.

“Daerah ini mencatatkan tangkapan paling tinggi membabitkan pemandu dibawah pengaruh alkohol menerusi Op Mabuk yang kerap dijalankan di sini untuk membanteras masalah pemandu mabuk.

“Kami juga komited berkempen untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai jenayah komersial terutama membabitkan jenayah penipuan dalam talian sejajar dengan Kempen Anti Scam PDRM 2022.

“Di Petaling Jaya terdapat peningkatan jenayah scam tetapi tidak begitu ketara. Oleh kerana ramai yang masih terpedaya dengan scam online, pihak IPD giat menjalankan kempen lebih agresif dengan berjumpa dengan penduduk secara bersemuka untuk menyampaikan mesej.

“Setiap minggu kita jumpa penduduk setempat dan mengadakan kempen untuk menerangkan jenayah dalam kawasan mereka supaya langkah pencegahan dapat diambil lebih awal daripada menjadi mangsa,” tegasnya.- MalaysiaGazette