Balachandran.

IPOH – Perikatan Nasional (PN) harus menyelesaikan isu dalaman politik dengan Barisan Nasional (BN) sebelum menyelar kepimpinan parti lain.

Ia susulan tindakan Pengerusi PN Melaka, Dr. Mohd Yadzil Yaakub menyerang Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dianggap tidak wajar.

Ketua Warisan Bahagian Gopeng, Dr. G. Balachandran berkata, dakwaan beliau bahawa Mohd Shafie sebagai individu tidak mempunyai prinsip adalah dangkal.

Katanya, Mohd Yadzil jelas membuka kelemahan sendiri apabila menyelar kenyataan Mohd Shafie bahawa Warisan akan menyokong sesiapa sahaja yang menang pilihan raya kerana ingin berkuasa.

“Sebenarnya, saya ingin bertanya kepada Mohd Yadzil adakah langkah Sheraton mempunyai prinsip? Kenyataan yang diberikan oleh Yadzil seperti meludah ke muka sendiri.

“Rakyat memberikan mandat baharu kepada kerajaan yang menang pilihan raya lepas, tetapi PN yang membelot rakyat dengan membentuk kerajaan baharu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kata beliau, langkah PN membentuk kerajaan dengan BN yang telah ditolak oleh rakyat juga menunjukkan parti tersebut tiada prinsip dan sanggup melakukan apa sahaja untuk jawatan.

Kata beliau, PN sebagai parti yang berprinsip tidak akan melalui pintu belakang dan dalam hal ini rakyat boleh menilai kewibawaan parti itu.

“Di negeri Sabah, Parti Warisan jatuh disebabkan angkara PN. Adakah ini dipanggil prinsip?,” soal beliau. – MalaysiaGazette