Noh Omar.

BATU FERINGGHI – Tidak timbul isu dua kem dalam UMNO, sebaliknya hanya wujud perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin berkaitan situasi semasa politik, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor menyifatkan kepincangan dalam UMNO ketika ini hanya masalah keluarga dan ia akan diselesaikan dengan semangat kekeluargaan.

“Siapa kata ada dua kem dalam UMNO, saya tengok UMNO tak ada kem. Kalau ada pun masalah keluarga saja.

“Kalau suami isteri, bapa anak pun ada perbezaan pendapatan, tambahlah dalam politik.

“Bagi saya perbezaan pendapat dan pandangan itu perkara biasa dan ia boleh diselesaikan dengan semangat kekeluargaan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai desas desus wujud dua kem dalam parti politik tertua itu.

Noh (kanan) menyampaikan sijil kepada peserta Seminar Pembangunan Kapasiti Kontraktor Aplikasi Pengecatan dan Lapisan Senibina Anjuran Pusat Khidmat Kontraktor (PPK) di Hotel Double Tree by Hilton di sini, hari ini.

Semalam, laporan akhbar tempatan menyiarkan kenyataan penganalisis politik yang berpendapat pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman mengenai isu dalaman UMNO memperlihatkan parti itu kini berpecah kepada dua kem.

Satu daripada kem itu dikatakan yang menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan satu lagi kem menyokong kepemimpinan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutupan Seminar Pembangunan Kapasiti Kontraktor Aplikasi Pengecatan dan Lapisan Senibina Anjuran Pusat Khidmat Kontraktor (PPK) di Hotel Double Tree by Hilton, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Noh menegaskan, tidak tepat untuk menyifatkan wujud dua kem dalam UMNO sekiranya ada perbezaan pendapat dalam kalangan ahli.

“Bila seorang beza sikit pendapat nak menunjukkan dia pembangkang, bagi saya itu tidak tepat.

“Kalau ada perlawanan baru A lawan B. Bagi saya apa yang berlaku ini adalah masalah dalam keluarga dan perkara biasa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette