Gambar Hiasan . Foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2021.

SUNGAI PETANI – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 44 warga asing dalam serbuan di dua kilang di Bukit Selambau di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Imigresen Kedah (Kawalan), Rosmaliza Mohamed Rashid berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 30 lelaki dan 14 wanita berusia lingkungan 24 hingga 63 tahun yang dipercayai pekerja kilang terbabit.

“Operasi penguatkuasaan di dua lokasi itu dijalankan susulan tamatnya Program Rekalibrasi Tenaga Kerja semalam, dengan 114 warga asing diperiksa dan 44 daripada mereka ditahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 26 warga Myanmar, 12 warga China, dua warga Indonesia dan masing-masing seorang warga Pakistan, Bangladesh, India dan Nepal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka didapati melakukan kesalahan seperti pas kerja tamat tempoh, menggunakan pas lawatan sosial untuk bekerja dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Rosmaliza berkata, pihaknya turut mengeluarkan tiga Borang 29 (saman kepada saksi) kepada pengurus dan kerani kilang terbabit bagi membantu siasatan.

Menurutnya, operasi bermula pada 9.30 pagi hingga 2 petang itu membabitkan 35 pegawai dan anggota imigresen.

Katanya, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, operasi besar-besaran akan dilaksanakan bagi membendung masalah pendatang tanpa izin selain memberi amaran keras kepada majikan yang mengambil golongan itu bekerja.

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sebagai inisiatif kepada pendatang tanpa izin untuk pulang ke negara asal atau berdaftar secara sah. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast