KUALA LUMPUR – Kecelaruan yang berlaku di dalam UMNO telah membuka peluang dan ruang kepada parti lain menyusun strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Kali Ke-15 (PRU-15).
Menurut pemerhati politik, Datuk Seri Kamal Amir Kamal Hijaz , apa yang berlaku di dalam UMNO memberi jalan mudah buat Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa partinya untuk terus dekat dengan rakyat.
“Saya tidak kata Pakatan Harapan (PH). Ini adalah usaha sendirian Anwar dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Ingat, rakyat masih berdendam dengan PH. Jadi ini kesempatan yang baik untuk Anwar membawa PKR secara sendirian bagi mendapatkan sokongan,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi.
Bergandingan bersama ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohamad Razlan Mohd Rafii, Amir berkata, apa yang berlaku di dalam UMNO adalah langkah kanan buat Anwar.
“Jika UMNO tidak melakukan sesuatu dengan segera, bermakna lebih mudah bagi Anwar. Ini kenyataan yang harus diterima oleh UMNO dan semua.
“Anwar mampu melakukannya secara solo tetapi jika bersama PH, sokongannya menipis. Rakyat masih ingat janji-janji manis PH dulu dan rasa sakit itu masih menebal.
“Anwar dilihat mempunyai kesempatan memandangkan ketika PRU-14, beliau bukan berada di barisan hadapan, jadi kali ini, beliau akan mengemudi sendiri PRU-15,” katanya.
Mengakui isu dalaman UMNO tidak besar kerana hanya melibatkan beberapa orang sahaja namun ia boleh memusnahkan harapan rakyat yang sebelum ini sudah mulai percaya pada parti itu.
“Saya melihat dalam konteks lebih luas, mungkin jika orang politik akan melihat dalam skop mereka sahaja.
“Dua tiga kerat ini boleh memusnahkan UMNO. Cara paling baik adalah bubar segera Parlimen dan pulangkan mandat kepada rakyat. Biar rakyat memilih semula,” katanya.
Katanya lagi, rakyat tidak wajar dijadikan mangsa kepada ahli politik yang asyik memikirkan jawatan dan kuasa.
“Saya lihat, bagi yang tak mahu Parlimen dibubarkan adalah mereka yang rasa tidak akan dipilih lagi sebagai calon, jadi mereka risau sedangkan ini langkah terbaik jika mahu menstabilkan semula ekonomi dan politik semasa.
“Jangan takut dengan dua tiga orang ini, utamakan rakyat,” jelasnya.
Awal minggu ini, bekas Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat pendedahan terhadap kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau mendakwa banyak keputusan tidak dipersetujui oleh ahli majlis sebaliknya keputusan yang dibuat adalah secara sendirian.
Tidak hanya itu, dakwa beliau lagi seakan-akan UMNO sudah terpecah kepada dua puak yang menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette