Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melawat tapak gerai pameran bagi merasmikan Pantai Floria ketika menghadiri ke Karnival Jom Heboh dan Hari Rekreasi Putrajaya 2022 di Anjung Floria, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 25 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – ‘Kerajaan sentiasa mendengar dan prihatin terhadap laporan yang dibangkitkan media’, kata Perdana Menteri.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan menerusi pelbagai kementerian dan agensi di bawahnya sentiasa memberikan kerjasama kepada media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. 

Jelasnya lagi, langkah itu bagi membantu memudahkan penyaluran maklumat yang seimbang, sahih dan memuaskan hati.

“Media perlu mendidik masyarakat dengan berkongsi ilmu dan maklumat tepat supaya seluruh Keluarga Malaysia dapat memahami usaha kerajaan menangani pelbagai isu ekonomi global.

“Ada kalanya, laporan berita dijadikan panduan oleh pihak berwajib untuk mengambil tindakan susulan seperti menyalurkan bantuan, demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada akhbar arus perdana, Berita Harian yang menyambut ulang tahun ke ke-65 hari ini.

“Saya berharap BH akan terus berkembang dan menyiarkan berita dan laporan yang tepat dan adil serta membantu Kerajaan membangun dan memajukan negara demi Keluarga Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette