Gambar hiasan

MELAKA – Penetapan baharu harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bermula hari ini disambut baik peniaga termasuk memansuhkan caj upah potong yang dikenakan sebelum ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bachang di sini hari ini mendapati semua peniaga tidak lagi mengenakan upah potong sebanyak 80 sen sekilogram ketika harga siling ayam RM8.90 sekilogram.

Peniaga, Jamel Jani, 59, berkata, rata-rata pelanggannya juga berpuas hati dengan harga baharu itu dan menyambut baik usaha peniaga yang terus memansuhkan upah potong.

Jamel Jani

“Alhamdulillah nampak sambutan jualan hari ini baik, sebab pelanggan pun kata harga ayam lebih murah bila kita terus tetapkan harga RM9.40 sekilogram termasuk potong.

“Sejak bulan lepas waktu harga RM8.90 sekilogram, memang kita ada kenakan upah potong tapi hari ini kita mansuhkan kerana harga siling pun sudah diselaraskan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi peniaga, Hamzah Othman berkata, ketetapan harga pada paras yang lebih rasional itu sekaligus dapat membuatkan bekalan ayam lebih terjamin tanpa berlaku kekurangan seperti sebelum ini.

Hamzah Othman

“Bekalan hari ini cukup dan tiada masalah dari peladang walau berapa jumlah kita minta berbanding sebelum ini memang ada masalah sikit.

“Insya-Allah berkalan ayam di pasar ini kita jangka memang cukup sehingga menjelang Hari Raya Aidiladha 10 Julai ini,” katanya.

Bagi peniaga Bakhtiar Omar, 38, bekalan ayam yang diperoleh hari ini juga lebih besar berbanding sebelum ini saiznya lebih kecil ketika harga RM8.90 sekilogram.

Bakhtiar Omar

“Kalau tengok hari ini, saiz ayam yang dibekalkkan semua besar-besar sehingga lebih dua kilogram seekor berbeza sebelum ini pada harga rendah saiznya lebih kecil.

“Ini sedikit sebanyak dapatlah juga kami para peniaga menampung kerugian yang dialami sebelum ini dan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana prihatian dengan masalah kami,” katanya.

Pada Rabu lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia bermula hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast