Aksi pemain beregu lelaki Malaysia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin sewaktu menentang pasukan dari beregu Indonesia, Alfian dan Ardianto pada perlawanan pusingan separuh akhir Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Cabaran beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia berakhir hari ini.

Impian beregu ranking nombor 12 dunia itu untuk mara dalam final pertama kejohanan utama disertai mereka punah selepas ditundukkan beregu nombor tujuh dunia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Arena Axiata, di sini hari ini.

Pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2019 Fajar-Muhammad Rian yang mendahului sejak awal permainan mengekalkan kelebihan mereka untuk menamatkan set pertama 21-14.

Juara Terbuka Jerman 2022 Sze Fei-Nur Izzudin yang menerima sorakan bersemangat daripada 10,000 penyokong tempatan cuba bangkit dalam set kedua tetapi Fajar Muhammad Rian memastikan slot ke final milik mereka dengan memenangi set kedua 21-12 dalam perlawanan yang berlangsung selama 37 minit.

Ia merupakan kekalahan keenam mereka daripada tujuh perlawanan dengan pasangan Indonesia itu.

“Mental kami memang tak cukup (kuat),” kata Nur Izzuddin yang kecewa dengan keputusan hari ini sambil menambah mereka boleh melakukannya dengan lebih baik dalam perlawanan itu.

Sementara itu, Sze Fei berkata:” Kita terlalu memikirkan tentang kekuatan lawan berbanding kelebihan sendiri. Ini bukan hari kami.”

Dalam perlawanan suku akhir semalam, beregu Malaysia itu mengalahkan Juara Terbuka Indonesia yang baru dimahkotakan, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China.

Kali terakhir beregu Malaysia muncul juara kejohanan ini ialah menerusi Goh V Shem-Lim Khim Wah dalam edisi 2014. – Bernama