Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha

KUALA LUMPUR – Seorang pembantu kedai warga Indonesia yang telah dicekup kerana disyaki menikam mati seorang buruh warga asing dalam pergaduhan di Taman Keramat, dekat sini, malam tadi telah direman untuk membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 22 tahun itu direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

“Pagi tadi suspek warga Indonesia telah dihadapkan ke Mahkamah Ampang untuk perintah reman.

“Mahkamah Majistret membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 8 Julai ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut kes ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembantu kedai warga Indonesia tikam mati buruh binaan diberkas

Tambah beliau, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum gantung sampai mati.

Terdahulu, Mohamad Farouk berkata, seorang pembantu kedai warga Indonesia diberkas polis kerana disyaki menikam mati seorang warga asing dalam pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Taman Keramat, Hulu Kelang malam tadi.

Bertindak atas maklumat polis menangkap suspek tidak jauh dari lokasi kejadian tersebut pada hari yang sama dan merampas sebilah pisau pemotong sayur yang digunakan suspek untuk menikam mangsa. – MalaysiaGazette