Kira-kira 3,000 pelajar di Pahang teruja menghayati sejarah pahlawan tanah air menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di panggung wayang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seramai 3,000 pelajar dan warga pendidik di 45 buah sekolah di daerah ini menghayati sejarah pahlawan tanah air dengan menonton filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan.

Penyelaras program tayangan amal, Datuk Seri Ab. Hamid Nazahar berkata, ia mencetuskan sejarah tersendiri apabila penglibatan tontonan teramai membabitkan ribuan warga pelajar sekolah menengah termasuk dan guru di Golden Screen Cinemas, Capital Mall Kuantan.

Program berkenaan dinaungi oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

“Program berlangsung selama dua hari menggunakan enam panggung besar bagi menampung jumlah dan pelajar yang ramai dengan memakai pakai seragam sekolah.

“Semua disediakan temasuk kos pengangkutan, makanan dan tiket wayang kepada pelajar sebagai sokongan bagi mendalami sejarah pahlawan tanah air di luar kelas,” katanya ketika ditemui hari ini.

Datuk Seri Ab. Hamid Nazahar (empat dari kanan) bersama jemputan menonton filem Mat Kilau:Kebangkitan Pahlawan di Kuantan hari ini.

Jelasnya program seumpama itu menyuntik semangat pelajar menghayati sejarah negara terutamanya asal-usul Mat Kilau dan perjuangannya dalam mempertahankan tanah air selain mengangkat karya seni tempatan.

Tambah Ab. Hamid, rata-rata pelajar melahirkan rasa bersemangat kepada tanah air apabila selesai menonton filem berkenaan.

“Sambutan pelajar dan guru sangat membanggakan dalam ada perancangan bagi sesi diskusi membincangkan semangat Mat Kilau untuk ada dalam jiwa setiap rakyat apatah lagi Mat Kilau berasal dari Pahang.

Penonton filem Mat Kilau; Kebangkitan Pahlawan berbusana tradisional orang lama sebagai tanda sokongan kepada filem berkenaan di Kuantan hari ini.

“Lebih mengujakan para pelajar apabila pelakon utama yang membarisi filem ini seperti Datuk Adi Putra dan Yayan Ruhian meluangkan masa serta membuat kemunculan dan kejutan kepada pelajar,” katanya.

Tambahnya tayangan yang sama merupakan inisiatif program yang amat baik dan akan diteruskan bagi memberi pendedahan terutamanya kepada pelajar tentang sejarah pahlawan terdahulu yang berkorban nyawa demi tanah air tercinta. – MalaysiaGazette