Rampasan pelbagai jenis dadah oleh PDRM. Foto Hiasan: MOHD ADZLAN, 26 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 81,706 orang ditahan polis untuk enam bulan pertama tahun ini membabitkan kes berkaitan dadah berbanding 66,889 orang untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Penahanan pada tahun ini melibatkan 69,648 kes Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, polis merampas 10,464.20 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, 2,394.91 liter pelbagai jenis cecair dadah, 69,132.69 kilogram daun ketum dan 44,809.30 liter air ketum yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM262 juta,” katanya menerusi kenyataan di Bukit Aman hari ini.

Tambahnya, sepanjang tempoh tersebut pihaknya menyerbu enam makmal haram memproses dadah yang membawa kepada tangkapan seramai 18 orang.

“Selain itu, sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, pelbagai aset sindiket dadah yang bernilai RM79.251 juta berjaya dirampas dan disita dan daripada jumlah tersebut, aset bernilai RM9.063 juta telah berjaya dilucuthak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Selain itu, seramai 997 orang telah ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah – Langkah Pencegahan Khas) 1985 untuk tahun ini.

“Bagi tempoh yang sama tahun lalu,PDRM berjaya merampas sebanyak 15,397.61 kilogram pelbagai jenis dadah, 5,342.63 liter pelbagai jenis cecair dadah, 148,407.57
kilogram daun ketum dan 54,267.57 liter air ketum yang nilai keseluruhan rampasannya berjumlah RM683,371,047.59.

“Malah, PDRM juga berjaya menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM87.691 juta yang mana daripada jumlah tersebut, aset bernilai RM 8.638 juta telah berjaya dilucuthak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorsiah berkata, PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sentiasa berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negara ini.

Katanya, PDRM berharap masyarakat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222. – MalaysiaGazette