Stadium Shah Alam yang kelihatan uzur ini bakal dirobohkan. Foto MOHD ADZLAN, 30 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shaari didakwa cuba menyembunyikan sesuatu apabila secara konsisten mahu merobohkan Stadium Shah Alam dan digantikan dengan fasiliti sukan lebih kecil serta mudah diuruskan.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor berkata, tindakan Amirudin yang terus mempertahankan cadangan itu seolah-olah untuk melindungi sesuatu yang sudah dirancang di atas tapak stadium sedia ada.

“Respon pantas secara tiba-tiba Menteri Besar terhadap cadangan perobohan Stadium Shah Alam dan dibangunkan semula jelas menunjukkan kredibiliti Amirudin gagal dalam tadbir urus (aset negeri).

“Seakan ada sesuatu yang sedang dirancang secara senyap pada lokasi Stadium Shah Alam ini ekoran kedudukannya yang strategik.

“Saya amat risaukan akan ada pihak berkepentingan akan mendapat untung tanpa memikirkan sentimental dan berharganya stadium ini kepada rakyat Selangor,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, semalam.

Sabtu lalu, media melaporkan Amirudin tidak menafikan adanya cadangan untuk merobohkan Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, pihaknya akan menjelaskan secara terperinci mengenai cadangan pembangunan terbaharu stadium tersebut pada 16 Julai ini.

Dalam pada itu, Amin juga menggesa Menteri Besar itu memberi penjelasan dalam masa terdekat dan bukannya menunggu sehingga dua minggu akan datang mengenai rancangan perobohan stadium tersebut.

“Menteri Besar dan Exco Sukan harus segera menjawab apakah situasi dan kedudukan sebenar isu stadium Selangor ini, itupun jika mereka berintegriti dan jujur dalam mentadbir urus Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast