KUALA LUMPUR – Sime Darby Berhad melupuskan anak syarikatnya, Sime Darby Overseas (HK) Limited (SDOHK) pada harga RM1.27 bilion.

Pelupusan syarikat Pelabuhan Weigang ini menandakan Sime Darby tidak lagi terlibat dalam perniagaan yang bukan terasnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sime Darby berkata, SDOHK telah memeterai perjanjian penjualan saham dengan SPG Bohaiwan Port Group Company Limited.

Sebagai tambahan kepada pertimbangan pelupusan, SDOHK akan menerima jumlah indikatif sebanyak RMB541 juta (kira-kira RM357 juta) sebagai pembayaran balik kepada pinjaman pemegang saham.

SPG Bohaiwan Port Group adalah sebahagian daripada Shandong Port Group Co. yang telah diperbadankan oleh kerajaan wilayah Shandong untuk menyatukan aset pelabuhan di wilayah itu.

Sime Darby berkata, hasil penjualan syarikat Pelabuhan Weifang akan digunakan untuk pelaburan masa hadapan dalam perniagaan teras khususnya sektor perindustrian dan permotoran, untuk perbelanjaan modal dan/atau pembayaran balik pinjaman jangka pendek.

Sime Darby dalam beberapa tahun kebelakangan ini secara beransur-ansur melupuskan aset bukan terasbagi menyelaraskan portfolionya dan menggunakan semula modal untuk menyokong pertumbuhan perniagaan terasnya dalam perindustrian dan permotoran.

Pelupusan ini, katanya, termasuk pelupusan perniagaan pengurusan air di Weifang, kepentingan dalam Tesco Malaysia, Eastern & Oriental Berhad dan tiga pelabuhan sungai di Jining.

”Kami gembira kerana sebahagian besar pelan rasionalisasi aset bukan teras telah dicapai hari ini dengan penjualan syarikat Pelabuhan Weifang Port, perniagaan terakhir yang kami miliki dalam bahagian logistik.

”Beberapa tahun kebelakangan ini merupakan satu cabaran bagi perniagaan pelabuhan dan kami berterima kasih kepada kerajaan wilayah Shandong kerana memuktamadkan perjanjian ini untuk membolehkan kami membuka kunci nilai yang kini boleh kami salurkan ke arah mengembangkan teras perniagaan syarikat,” Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Datuk Jeffri Salim Davidson.

Meskipun begitu, tambahnya, China kekal sebagai salah satu pasaran terpenting Sime Darby yang menyumbang hampir 40 peratus hasil untuk kumpulan.

Perniagaan perindustrian dan permotoran di sana merentasi 120 lokasi dan 14 wilayah.

”Kami tidak sabar-sabar untuk menyalurkan hasil yang kami terima daripada pelupusan ini untuk mengembangkan dan mengukuhkan kedudukan kami dalam sektor perindustrian dan automotif di China, serta terus mencari peluang di pasaran lain,” tambah beliau.

Perjanjian penjualan saham itu dijangka selesai pada suku keempat 2022. – MalaysiaGazette