Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) tidak berminat untuk bertemu dengan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi kerana tuntutan sudah diserahkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) pada 27 Jun lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Amanah, Faiz Fadzil berkata, pihaknya menggesa Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa meneliti memorandum yang diserahkan itu.

Menurutnya, Annuar tidak perlu ‘bermain wayang’ kerana apa sahaja mekanisme yang dicadangkan boleh dibahas di Parlimen tempat paling sesuai dan berautoriti bagi membincangkan perkara itu dan bukannya mengadakan pertemuan bersama mereka.

Katanya, istilah ‘jihad’ adalah menentang kemungkaran sebaliknya, inflasi bukan mungkar dan harga barang juga bukan mungkar.

“Kerajaan perlu bertindak segera dan bukannya bermain wayang dengan rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Kelmarin, Annuar mempelawa pihak yang mengetuai demo bantahan kenaikan harga barang bertemu dengannya bagi mencari penyelesaian mengenai krisis inflasi negara.

Katanya, ia bertujuan membantu menangani cabaran peningkatan kos sara hidup dan melalui pertemuan itu mereka boleh memberikan idea menarik untuk dipertimbangkan bagi menyelesaikan krisis yang berlaku.

Faiz berkata, sekiranya betul ingin berjihad, kerajaan perlu menangani rasuah dan penyelewengan kerana ketirisan inilah yang akan memberi kesan kepada dana kerajaan untuk diagihkan subsidi kepada rakyat. – MalaysiaGazette