Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memeluk erat salah seorang jemaah haji Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terkandas 30 Jun lalu ke Tanah Suci Mekah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2022.

SEPANG – Bakal-bakal jemaah haji Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan berlepas ke tanah suci Mekah petang ini melahirkan rasa syukur kerana hajat mereka untuk menunaikan Rukun Islam kelima akhirnya tercapai.

Ada dalam kalangan mereka sebak, namun menganggap ujian yang dihadapi sebagai kekuatan untuk lebih tabah  ketika berada di tanah suci.

Rata-rata bakal jemaah berkenaan yang ditemui MalaysiaGazette memberitahu, tanpa campur tangan kerajaan mereka mungkin terpaksa melupakan hajat yang telah dipendam sejak sekian lama.

Bakal jemaah Kolonel Zolkefli Hassan, 58, berkata, beliau sangat terharu dengan usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pertahanan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh kesemua jemaah haji berkenaan.

Zolkefli Hassan

Dia tidak menyangka urusan mereka dipermudahkan Allah SWT dan peluang untuk menunaikan haji itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin agar mendapat haji  mabrur.

“Saya memang rasa terharu sebab kami sepatutnya berlepas 30 Jun lalu.

“Memang kami dah sampai sini dan berita sedihnya kami tak dapat berlepas…jadi, kami menunggu sehinggalah ke hari ini…saya amat bersyukur kerana inilah pertama kali kami pergi haji,” katanya yang pernah dua kali menunaikan umrah.

Seorang lagi bakal jemaah, Ananthan Tharmalingam, 48, berkata, beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan dan pihak-pihak yang terlibat kerana telah membantu menyelesaikan masalah yang berlaku.

Mengakui pada mulanya dia kecewa selepas mendapat tahu masalah yang dihadapi, namun, ia bertukar menjadi sesuatu yang menggembirakan selepas dimaklumkan  masalah tersebut telah diselesaikan.

Ananthan Tharmalingam

“Alhamdulillah, dengan bantuan yang diberi oleh Menteri Pertahanan akhirnya kami akan dapat berlepas juga petang ini.

“Insya  Aallah, kami semua akan mendoakan kesejehtaraan rakyat di negara ini sebagaimana yang dipesan oleh Datuk Seri Hishamuddin kepada kami pagi ini,” katanya

Seorang lagi bakal jemaah, Kolonel (B) TUDM, Rozze Ali Rahim, 59, menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak ATM yang telah membantu urusan penerbangan ke tanah suci Mekah meskipun pada mulanya terdapat halangan.

Katanya, selepas dimaklumkan mengenai masalah yang berlaku dan perlu ada tempoh masa untuk menyelesaikan kekalutan yang terjadi, hatinya berdebar dan sentiasa menitipkan doa agar urusan mereka dipermudahkan.

Rozze Ali Rahim

“Ya Allah, Ya Rabbi Ya tuhanku, perasaan saya terharu bercampur syukur kepada Allah SWT yang akhirnya membuka jalan kepada kami untuk menghambakan diri kepadanya di tempat paling suci.

“Saya sentiasa sembahyang hajat dan berdoa dan itu semua dilakukan oleh rombongan kami ini sebagai usaha agar hajat kami untuk menunaikan salah satu rukun Islam dimakbulkan,” katanya yang akan menunaikan ibadah itu bersama isterinya.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menemui semua bakal haji berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di sini bagi mengucapkan selamat jalan kepada kesemua mereka.

Turut mengiringi Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Kesemua bakal haji berkenaan akan berlepas pukul 3 petang ini menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast