Zainol Samah

MELAKA – Terdengar satu bisikan mengatakan ibunya menyembah berhala didakwa menjadi punca seorang anak tergamak menikam sehingga mati mangsa di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, di sini petang tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang petang itu, mangsa, Rozizah Md Dom, 63, yang juga seorang ibu tunggal meninggal dunia di tempat kejadian dengan dua kesan tikaman di leher oleh anak lelakinya berusia 38 tahun di rumah mereka.

Menurutnya, hasil soal siasat, suspek  mempunyai rekod kesihatan mental mengaku menikam ibunya yang ketika itu sedang berada di dalam bilik tidur.

“Suspek mengaku menikam ibunya dengan pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter di kiri dan kanan leher selepas mendengar satu bisikan mengatakan ibunya menyembah berhala dan memintanya menikam wanita itu.

“Anak sulung mangsa itu kemudian telah masuk ke dalam bilik ibunya yang baharu selesai mandi dan menikam warga emas itu.

“Selepas itu, suspek turut menghulurkan pisau berkenaan kepada ibunya yang kemudian bertindak membuang senjata tajam itu melalui tingkap,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian hari ini.

Pasukan forensik melakukan siasatan di tempat kejadian seorang warga emas berusia 63 tahun maut selepas dipercayai ditikam anak kandungnya di
Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka kira-kira jam 3 petang tadi.

Tambah Zainol, semakan mendapati suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri di Hospital Melaka sejak empat tahun lalu termasuk mempunyai dua rekod kesalahan dadah.

“Ketika ditahan polis, suspek yang pernah berkahwin dan merupakan anak sulung daripada lima beradik hanya berdiam diri dan tidak melawan. Polis turut menyiasat sama ada suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Melaka esok.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ibu maut ditikam anak sendiri