Gambar yang dikongsi oleh WWF-Malaysia

KUALA LUMPUR – Rakaman imej terbaharu seekor harimau Malaya betina bersama empat ekor anak di habitat liar Semenanjung Malaysia memberi petanda positif spesis itu mampu untuk diselamatkan daripada pupus.

Foto yang dikongsi oleh World Wildlife Fund (WWF) Malaysia tersebut telah dirakam oleh perangkap kamera pada awal tahun ini.

Dalam gambar tersebut tiga ekor anak berada di hadapan ibunya manakala seekor lagi berada di sebelah kanan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia Sophia Lim berkata, kelahiran empat ekor spesis harimau Malaya itu memberi petanda yang sangat memberangsangkan terutama menjelang sambutan Hari Harimau Global bulan ini.

“Dengan populasi harimau kini berjumlah kurang daripada 150 di Semenanjung Malaysia perkembangan ini memperbaharui harapan agar spesies terancam dan kritikal ini dapat diselamatkan daripada ambang kepupusan.

“Adalah lebih penting kita meneruskan rondaan, untuk melindungi anak-anak ini dan ibu mereka daripada ancaman pemburuan haram dan kehilangan habitat yang sedia ada,” tambah Sophia.

Secara purata, harimau melahirkan dua hingga empat anak setiap dua tahun.

Jika semua anak mati, harimau boleh mengandung dalam tempoh lima bulan jika menemui pasangan yang sihat dan keadaan sekeliling kondusif untuk pembiakan.

Sementara itu Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak (PSPC) Shah Redza Hussein berkata, kehadiran anak-anak harimau tersebut menunjukkan bahawa haiwan yang semakin pupus itu boleh membiak.

Hanya dengan memastikan terdapat makanan yang mencukupi serta memastikan tiada pemburuan haram membolehkan harimau Malaya terus membiak di alam semulajadi.

“Kami memerlukan usaha anti-pemburuan haram yang berterusan dan lebih kuat untuk memastikan anak-anak ini selamat daripada pemburu haram dan boleh bertahan sehingga dewasa,” katanya.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), pasukan anti pemburuan haram WWF-Malaysia dan Unit Peronda Orang Asli Menraq PSPC kerap meronda di Taman Negeri Royal Belum yang meliputi kawasan seluas 117,500 hektar.

Rondaan yang kerap telah mengurangkan insiden pemburuan haram hampir 98 peratus.

Undang-undang yang lebih ketat untuk jenayah hidupan liar juga dijangka berkuat kuasa bulan ini dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 (Akta 716) yang membawa hukuman denda maksimum kepada RM1 juta daripada RM500,000 bagi pesalah.

“Ia adalah usaha bersama. Penemuan ini adalah bukti bahawa dengan populasi yang berdaya maju – walaupun kecil harimau masih boleh terus membiak semula jika habitat, makanan dan keselamatannya terjamin,” jelas Shah Redza.

Dua lagi peristiwa penting dalam membanteras insiden pemburuan haram ialah penubuhan Pasukan Petugas Harimau Kebangsaan yang diketuai oleh Perdana Menteri dan penubuhan Jenayah Hidupan Liar Biro di bawah Polis Diraja Malaysia.

Pada 30 dan 31 Julai tahun ini, WWF-Malaysia dengan kerjasama Maybank, akan memulakan sambutan Global Hari Harimau dengan “Roar For Life Eco-Festival” yang akan diadakan di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.-MalaysiaGazette