Gambar hiasan

KUALA LUMPUR Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati umat Islam negara supaya lebih teliti dan berhati-hati dengan pakej haji 1443H/2022M yang ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan olehnya.

Dalam kenyataanya, TH berkata, permohonan visa haji selain kuota rasmi Malaysia adalah hak mutlak Kerajaan Arab Saudi.

Bakal-bakal haji yang mendapat Visa Furada dinasihati untuk menggunakan perkhidmatan pakej haji yang disediakan oleh Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan TH sahaja.

”Bagi musim Haji 1443H/2022M, TH telah melantik 22 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai PJH berlesen untuk mengurus pemergian haji ke tanah suci,” katanya.

TH menegaskan, ia sentiasa mengambil berat akan kebajikan para bakal haji dan khuatir dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan pakej haji
kepada umat Islam negara.

Mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535). – MalaysiaGazette