Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Penubuhan kerajaan gabungan adalah tidak bagus untuk Malaysia, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang menggunakan istilah ‘kahwin paksa’ berkata, kerajaan gabungan mendorong sesetengah menteri bertindak bersaing sesama sendiri.

“Setiap satu pakatan atau blok lebih mementingkan kedudukan masing-masing dan bukannya prestasi kerajaan secara keseluruhan.

“Ini bukanlah sesuatu yang baik untuk negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Oleh itu, beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor itu. menggesa PRU15 diadakan secepat mungkin.

Dengan mengadakan PRU15 banyak masalah boleh diselesaikan seperti kenaikan harga barang dan kemelut politik.

Malah katanya lagi, jikaa kerajaan menangguhkan PRU, ia akan memberikan impak yang buruk kepada kadar pelaburan negara kerana pelabur akan beralih ke negara lain.

“Dalam konteks ekonomi dan pelaburan langsung asing misalnya, kebanyakan pelabur mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.

“Banyak perniagaan dan operasi industri tidak dikembangkan kerana semua menunggu keadaan dan bentuk kerajaan yang akan dibentuk kelak,” katanya lagi.

Beberapa pemimpin politik antaranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kerajaan agar PRU15 diadakan secepat mungkin kerana ia menjadi keinginan akar umbi UMNO ketika ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga berkata PRU15 perlu diadakan segera sekiranya mahu membina kekuatan dalam kerajaan dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinan negara. – MalaysiaGazette