MIC ucap takziah dengan pemergian Tan Sri S. Subramaniam.

KUALA LUMPUR – Kematian bekas Timbalan Presiden MIC, Tan Sri S. Subramaniam satu kehilangan besar kerana mendiang banyak berjasa kepada masyarakat India di negara ini.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran melahirkan perasaan sedih sambil menyifatkan mendiang sebagai antara pemimpin yang telah banyak menabur bakti selama lebih 30 tahun bergelar wakil rakyat.

Vigneswaran yang juga merupakan Duta Khas Malaysia ke Asia Selatan itu berkata, jasa mendiang akan sentiasa dikenang.

Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran

“Saya dengan penuh dukacita ingin merakamkan takziah terutamanya kepada Puan Sri Tina Subramaniam serta ahli keluarga dan yang terdekat. Pastinya kehilangan ini cukup besar dan berat buat mereka semua. Kita sendiri dalam parti MIC amat merasai kehilangan ini.

“Sumbangan mendiang melalui pelbagai jawatan parti dan juga dalam kerajaan termasuklah menjawat jawatan timbalan menteri, Ahli Dewan Negara dan sebagainya sebenarnya sangat besar, banyak serta sungguh bermakna buat rakyat serta ahli-ahli MIC.

“Saya sendiri secara peribadi turut berpeluang bukan sahaja mengenali ahli politik veteran ini sebaliknya bersama-sama bekerja dengan beliau sebelum ini, banyak perancangan serta buat fikirannya telah berjaya dinikmati masyarakat secara amnya,” katanya hari ini.

Semalam, anak mendiang, Datuk Sunther Subramaniam memaklumkan bapanya meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam.

Sunther memberitahu, mendiang sudah terlantar hampir 11 tahun akibat serangan angin ahmar dan meninggal dalam tidur.

Acara pengebumian mendiang akan diadakan di rumah keluarganya di Seksyen 16, Petaling Jaya esok.

Mendiang sebelum ini pernah berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Damansara dari 1974 hingga 1982 dan Ahli Parlimen Segamat selama empat penggal dengan penggal terakhirnya adalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999.

Dalam MIC, Subramaniam mula menjadi ahli MIC pada tahun 1962 dan pernah menyandang jawatan sebagai setiausaha agung, naib presiden dan timbalan presiden.

Pada pemilihan MIC 2006, beliau tewas dan tempatnya sebagai Timbalan Presiden MIC digantikan oleh Datuk Seri G. Palanivel. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast