Ketua Pegawai Eksekutif Zara Zakiah Education Sdn Bhd, Anwar Shamsudin (empat dari kiri) selepas majlis penyampaian sijil penyertaan Kem Motivasi Education Adventure kepada pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke luar negara di Semenyih Eco Resort & Reacreation baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Zara Zakiah Education Sdn. Bhd.  meneruskan program penghantaran pelajar seliaan agensi tersebut ke luar negara membabitkan 100 orang dalam pelbagai bidang dan peringkat pada tahun ini.

Ketua pegawai eksekutifnya, Anwar Shamsudin berkata, program tersebut sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi dengan memberi keutamaan kepada pelajar mengikuti pengajian dalam perubatan, pergigian, veterinar, farmasi dan pengajian Islam.

Beliau berkata, para pelajar akan ditempatkan di beberapa institusi pengajian tinggi awam yang telah dikenal pasti di akan mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di luar negara.

Kata beliau, antara negara yang menjadi pilihan adalah Mesir, Rusia, Indonesia, Australia dan Bangladesh.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, seramai 32 orang pelajar akan dihantar yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Matrikulasi dan Diploma daripada IPTA dan Instusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“Mereka telah mendaftar di bawah pengurusan Zara Zakiah Education sejak awal tahun lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Zara Zakiah Education mengadakan Program Kem Motivasi – Education Advanture (Eduventure) selama tiga hari dua malam kepada 100 pelajarnya itu di Semenyih Ecoventure Resort and Recreation, Selangor.

Anwar menambah, pihaknya menyasarkan seramai 200 orang pelajar akan dihantar dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang profesional yang ditawarkan.

Jelas beliau, pihaknya mahu melihat lebih ramai pelajar berpeluang untuk mendapat pendidikan di luar negara dan bergantung kepada kuota yang diberikan oleh pihak universiti di luar negara.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman syarikat, pelajar lulusan luar negara lebih mantap dari segi pemikiran, keluar daripada zon selesa seperti membuka klinik sendiri, menyambung pengajian di peringkat pakar dan berhijrah ke luar negara untuk menimba lebih banyak pengalaman hidup.

“Apa yang lebih menarik, kesedaran ibu bapa dalam kalangan isi rumah berpendapatan sederhana sudah mampu menghantar anak-anak belajar  semakin meningkat.

“Buat masa ini tidak tepat jika timbul persepsi hanya anak-anak dari kalangan kaya dan berada yang layak ke sana.

“Sudah ramai keluarga sederhana mampu menyediakan anggaran perbelanjaan tidak melebihi RM200,000 untuk tempoh lima tahun. Bayaran tersebut termasuk kos yuran universiti, tempat tinggal, makan minum serta tiket kapal terbang,” katanya.

Sementara itu, Anwar memberitahu, kem motivasi yang diadakan bertujuan untuk mendedahkan peserta dengan cabaran yang bakal dihadapi di tempat  serba baharu di samping pelajar dapat mengenali satu sama lain sebelum berangkat ke luar negara.

Kata beliau, mereka akan berhadapan dengan perbezaan budaya dan agama, berlainan cuaca, makanan, cara hidup dan persekitaran.

“Sepanjang kem ini berlangsung, pelbagai aktiviti diadakan untuk menguji keupayaan fizikal termasuk mendaki bukit dan membina sendiri tanpa bantuan profesional – do it youself (diy)  bot untuk menyelamatkan diri serta terjun dari kawasan tinggi (flying fox).

“Aktiviti ini sekaligus melatih kekuatan mental supaya mereka cepat membuat keputusan jika berhadapan dengan masalah. Apabila peringkat awal pelajar telah berjaya menyesuaikan diri, hasilnya akan lahir kumpulan graduan lulusan luar negara yang mempunyai jati diri yang tinggi, berani, tidak mudah berputus asa dan sering mencabar keupayan diri,” ujarnya.

Nur Irdina Balqis Rohimin.

Bagi seorang peserta, Nur Irdina Balqis Rohimin, 19, teruja melanjutkan pengajian dalam bidang pergigian di Dhaka Dental College, Bangladesh pada awal tahun depan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wilayah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, walaupun memahami situasi yang bakal dihadapi namun beliau telah bersedia lebih awal.

“Saya sedia maklum bagaimana kehidupan di sana, persekitaran dan cara hidup namun saya mahu mengalami pengalamannya di samping memberi fokus kepada pengajian di universiti.

“Kem motivasi ini juga banyak membantu saya memahami erti perkongsian dalam kumpulan, lebih faham kenapa perlu membuat keputusan dengan cepat dan tepat. Saya berharap kami bersama-sama bersemangat untuk ke luar negara dan pulang dengan kejayaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast