Hee Sem memeriksa harga bekalan minyak masak tulen di Jasin, Melaka hari ini.

JASIN – Lebih 200 premis menjual minyak masak tulen bersubsidi di negeri ini kini berada dalam radar pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan menyeleweng bahan keperluan itu.

Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, ia termasuklah kesalahan menjual minyak peket berkonsepkan ‘tempahan’ sekaligus menjadi antara punca kekurangan 1,800 metrik tan sebulan minyak masak bersubsidi di Melaka.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 200 premis yang dikesan melakukan kesalahan itu meliputi semua peringkat rantaian jualan bermula dengan syarikat pemborong, pembungkus dan peruncit.

“Kita memang ada buat pemantauan terhadap premis ini (lebih 200) yang mana ia melibatkan semua lapisan premis termasuklah syarikat pemborong, pembungkus dan peruncit.

“KPDNHEP tak pernah benarkan penjualan berkonsepkan booking (tempah) dan mereka sepatutnya jual kepada pengguna berdasarkan ‘siapa cepat, dia dapat’,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemantauan di Pasar Besar Jasin hari ini.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, isu kekurangan minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram yang berlaku ketika ini mungkin berpunca daripada sikap peniaga yang ‘mencuri’ hak pengguna isi rumah itu.

Menurutnnya, keadaan itu berlaku apabila peniaga turut membeli minyak peket sedangkan ia sepatutnya dikhaskan untuk kegunaan isu rumah dan bukan sektor komersial seperti peniaga warung dan restoran.

Ngwe Hee Sem

“Sebab itu kita akan terus melakukan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan sektor perniagaan ini tidak membeli minyak peket yang disubsidi ini.

“Sebelum ini, tiada masalah minyak peket tapi bila minyak botol tidak lagi diberikan subsidi, ramai mula beralih mendapatkan minyak peket menyebabkan ia semakin sukar dibeli di pasaran,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 22,174 premis telah diperiksa dalam operasi penguatkuasaan melibatkan semua peringkat iaitu pengilang, pengeluar, pembekal, pemborong serta peruncit di negeri ini.

Daripada jumlah itu, katanya, 240 kesalahan dikesan dengan kes tertinggi adalah 163 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 21 Jun lalu mengumumkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan dimansuhkan bermula 1 Julai ini.

Bagaimanapun, subsidi minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kilogram dan pada harga RM2.50 sepeket masih diteruskan. – MalaysiaGazette