KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal, Vanidah Imran kini rasmi bergelar isteri kepada, seorang jurutera, Arifabillah Idris selepas kedua-duanya diijab kabul hari ini.

Majlis pernikahan berlangsung sebuah premis di Titawangsa, di sini sekitar pukul 12.12 tengah hari, tadi.

Majlis pernikahan hanya dihadiri oleh 50 tetamu terdiri daripada kalangan keluarga dan teman rapat.

Vanidah, 49 itu turut menerima mas kahwin berbentuk seutas rantai emas daripada suaminya selain masing-masing berbalas dua dulang hantaran.

Kembali bergelar isteri, Vanidah mendedahkan keputusan berkenaan tidak mudah, namun berkat restu seluruh ahli keluarga dan sokongan rakan-rakan, niat baik itu dipermudahkan oleh Allah.

Beliau juga membuat keputusan untuk tidak menghebahkan pernikahannya pada hari ini.

“Kawan rapat pun hanya dimaklumkan saya beberapa hari sebelum majlis pernikahan. Ada di antara mereka terkejut dengan berita ini, namun dalam masa tumpang gembira terhadap keputusan dibuat,” katanya.

Kata Vanidah, sejujurnya dia gembira dan bersyukur kerana bertemu jodoh dengan Arifabillah yang memiliki persamaan dengannya.

Mengulas lanjut pelakon Perempuan Melayu Terakhir itu berkata, dia dan pasangannya pernah melalui kegagalan dalam perkahwinan pertama serta dikurniakan anak.

Ujar beliau, kedua-dua mereka mengadakan perbincangan dengan anak masing-masing sebelum membuat keputusan ke jenjang pelamin.

“Kami pernah berkahwin. Masing-masing pernah melalui pengalaman hidup berumah tangga. Dia sebelum ini berstatus duda kepada empat cahaya mata.

“Jadi paling utama dalam memutuskan soal membina masjid kami, perasaan dan hati anak-anak perlu diutamakan,” katanya.

Vanidah dan Rashidi Ishak bercerai pada Ogos 2018 selepas membina mahligai selama 17 tahun.

Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Mikhail Imran, 18 dan Maryam Rashika, 15. -MalaysiaGazette