JERANTUT – Kewujudan durian kampung tidak dipandang sebelah mata tatkala pelbagai durian jenis klon seperti Musang King muncul dan lebih komersial di pasaran.
Ia terbukti apabila Pertandingan Durian Kampung Premium (DKP) anjuran Pejabat Pertanian Daerah Jerantut mendapat sambutan yang memberansangkan.
Ketua Kg Som, Rafiz Azuan, 48, berkata, pertandingan tersebut merupakan platform yang baik membantu mengangkat martabat durian kampung untuk dijenamakan setanding klon-klon lain raja buah itu.
“Nama Durian Kampung Premium ni masih baru. Kita nak penjenamaan dan patenkan sebab maklumlah orang kampung tak berapa pandai,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Beliau menghantar penyertaan sembilan biji buah durian kampung mewakili tiga penduduk di Kg Som untuk dipertandingkan dalam acara terbabit.
Sementara itu, tuah menyebelahi Rosli Abu Kassim, 48 apabila beliau menang tempat ketiga pertandingan tersebut dengan mencuba nasib menghantar tiga biji buah durian kampung milik arwah datuknya.
“Usia pokok anggaran lebih 100 tahun. Buahnya setakat ni masih elok lagi lah. Yang ni gugur pagi tadi, terus saya bawak datang sini,” katanya.
Beliau sebelum itu tidak menaruh harapan untuk menang pertandingan terbabit kerana terdapat 21 pesaing lain dan hanya mencuba nasib.
“Tapi orang kata cubalah nak bertanding sebab ni durian lama kan. Kita nak cuba kalau boleh nak patenkan nama je,” jelas Rosli.
Selain Rosli, difahamkan pemenang tempat pertama dan kedua Pertandingan Durian Kampung Premium Peringkat Daerah Jerantut juga merupakan penduduk Kg Perlok.
Pertandingan Durian Kampung Premium (DKP) anjuran Pejabat Pertanian Daerah Jerantut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah di Dewan Taman Sri Damak.
Turut hadir, Pengarah Pertanian Negeri, Muhd Rizal Baharom yang menjadi panel juri, Ketua Bahagian Industri Asas Tani, Abdul Ghani Ahmad, Pegawai Pertanian Daerah Jerantut, Rafeah Rabiatun Othman dan Penghulu Mukim Cheka, Khairul Akhmad.
Pejabat Pertanian Daerah Jerantut menetapkan beberapa kriteria utama semasa proses saringan.
Antaranya buah durian yang dipertandingkan haruslah daripada ladang yang terletak di dalam Daerah Jerantut sahaja dan peserta perlu menghantar tiga biji buah durian dari satu pokok yang sama.
Peserta juga perlu memastikan buah durian yang dipertandingkan masih bertangkai, dibersihkan serta melebihi berat 1 kilogram (kg).- MalaysiaGazette