Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – OCBC Bank percaya Malaysia masih berpeluang untuk mencapai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) iaitu kira-kira 5.7 peratus tahun ke tahun pada 2022, walaupun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) merancang untuk menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi globalnya bagi tahun 2022.

“Kelebihannya ialah pemulihan penggunaan domestik di Malaysia kekal kukuh, terutama disebabkan gambaran kadar pekerjaan yang utuh pada ketika ini,” kata pakar ekonominya Wellian Wiranto kepada Bernama ketika dihubungi pada Khamis.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Khamis menunjukkan kadar pengangguran Malaysia bagi Mei 2022 tidak berubah daripada 3.9 peratus pada April 2022.

Menurut Wellian, pertumbuhan ekonomi 2022 juga akan disokong oleh sektor komoditi dan semikonduktor yang sangat membantu dalam memperkukuh eksport Malaysia.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa sokongan daripada harga dan volum kedua-dua segmen ini mungkin tidak seperti sebelum ini pada tempoh suku-suku akan datang.

Reuters pada hari Rabu melaporkan, Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva berkata IMF akan menurunkan unjuran KDNK global 2022nya buat kali ketiga tahun ini, yang ketika ini diunjurkan sebanyak 3.6 peratus, dan pakar ekonomi IMF sedang memuktamadkan angka baharu.

Pada awal Mei tahun ini, IMF dilaporkan sebagai berkata ia optimis bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang 5.75 peratus pada 2022, didorong oleh permintaan domestik yang terpendam serta permintaan luar yang terus kukuh.

Mengenai peringatan Georgieva terhadap prospek ekonomi yang suram dan tidak menolak kemungkinan berlakunya kemelesetan global tahun depan disebabkan risiko yang tinggi, Wellian mengakui yang pastinya bahawa risiko kemelesetan global telah meningkat.

“Tetapi sebagai garis panduannya, kami masih mengunjurkan lebih banyak kelembapan daripada kemerosotan besar-besaran,” katanya.

Sementara itu, apabila diitanya adakah peningkatan kes COVID-19 di Malaysia akan menjejaskan unjuran pertumbuhan ekonomi negara untuk 2022, Wellian berkata dengan peningkatan kes COVID-19, terdapat risiko jelas yang pengguna mungkin mengalami kesan fobia daripada tahun-tahun sebelumnya dan mengurangkan sedikit perbelanjaan mereka.

“Tetapi secara keseluruhan, peralihan ke peringkat endemik telah berjalan dengan agak lancar disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi, jadi kesan ke atas penggunaan seharusnya tidak ketara.

“Itu sepatutnya membantu mengimbangi risiko luaran,” katanya.

Malaysia merekodkan 3,561 kes jangkitan baharu COVID-19 pada hari Rabu, jumlah kes harian tertinggi yang dicatatkan sejak Mei 2022. – BERNAMA