Ketua Kluster Kesihatan, Zaharah Sulaiman ketika bercakap pada media mengenai Manifesto Tuntutan Rakyat Terhadap Parti Politik Dalam Menghadapi Piliharaya ke-15 di Villa Puteri Kondominium, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Konvensyen Kebajikan Rakyat (KKR) menuntut kerajaan terutama Kementerian Kesihatan (KKM) agar mengelakkan daripada melakukan sebarang perjanjian dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Kluster Kesihatan KKR, Zaharah Sulaiman berkata, sebarang saranan dari WHO berkenaan pengurusan pandemik dan bencana hendaklah melalui panel pakar tempatan yang diiktiraf.

Katanya, panel ini juga mesti bersikap berkecuali, berkemahiran dan tidak berkepentingan, selain wajar melibatkan wakil NGO, agamawan dan rakyat yang terpilih.

“Konvensyen ini turut menuntut diadakan badan penguatkuasaan perubatan alternatif dan komplementari yang diformulasikan mengikut standard keselamatan yang diiktiraf KKM.

“Atau Bahagian Perubatan Tradisional dipisahkan dari KKM serta dikawalselia oleh profesional dalam sub bidang perubatan komplementari,” katanya pada sidang media Deklarasi Manifesto Konvensyen Kebajikan dan Tuntutan Rakyat di Villa Puteri Kondominium, di sini, hari ini.

Menurut Zaharah, konvensyen itu turut menuntut agar KKM tidak mencampuri atau mengganggu-gugat kepentingan pengamal perubatan alternatif yang lain termasuk pengamal perubatan kerohanian spiritual al-Quran dan sunnah Nabi serta ulamak yang telah amalkan sejak ribuan tahun.

Kata beliau, konvensyen itu mendapati terdapat “conflict of interest” yang nyata dalam pelaksanaan Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan serta penilaian kesan advers susulan imunisasi (AEFI).

“Kami menuntut agar “informed consent” untuk vaksinasi dilakukan dengan sempurna, dipertanggungjawabkan kepada kerajaan sementara penilaian AEFI dipertanggungjawabkan kepada satu panel penilai yang berkecuali, telus dan terasing dari NPRA KKM.

“Kami menyeru kerajaan dan KKM kembali menghayati hak asasi individu atau pesakit yang berhak memilih jenis rawatan yang difikirkan terbaik untuk situasi diri  mereka, bukan bentuk rawatan yang bersifat paksaan.

“Kami mengingatkan KKM dan kerajaan bahawa salah untuk mendiskriminasikan individu dari segi khidmat perubatan berdasarkan pilihan vaksinasi individu atau mensyaratkan vaksinasi sebelum mendapatkan perkhidmatan perubatan, kemasukan pelajar ke sekolah dan universiti,” katanya.

Tegasnya, mendiskriminasi adalah melanggar hak asasi manusia yang dijamin dalam Perlembagaan Negara yang merupakan perbuatan zalim disisi agama.

Serentak itu juga, KKR menggesa kerajaan mengeluarkan data seperti kanser baru, kanser berulang, Miokarditis, jangkitan semula, penyakit kronik, kadar kelahiran, kematian dan hasil kelahiran untuk pihaknya lakukan penilaian. – MalaysiaGazette